KPLB kemuka syor laksana alternatif bekalan elektrik, air luar bandar
Published on: Saturday, March 23, 2019
SIPITANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengemukakan syor pelaksanaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Alternatif dalam Pelan Pusingan Keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, syor itu adalah antara beberapa input yang dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan KPLB Persekutuan selain daripada syor berkaitan pelaksanaan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Program Bina Baharu Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).ADVERTISEMENT
“Syor ini adalah berasaskan dapatan kami bahawa masih banyak kampung terpencil yang belum mempunyai bekalan elektrik dan terletak jauh dari sumber grid transmisi elektrik, tetapi kampung-kampung ini mempunyai sumber anak sungai yang kita boleh bangunkan untuk kuasa hidro bagi menjana tenaga elektrik ke rumah-rumah di kampung-kampung tersebut.
“Kami juga maklum permasalahan banyak kampung yang masih bergantung sepenuhnya kepada bekalan air graviti yang tidak dirawat. Justeru, syor kami adalah untuk memastikan bekalan air graviti terawat dapat dibekalkan kepada setiap isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja di Mini Estate Sejahtera (Mesej) Banting, Mesej Malalia, serta perusahaan penternakan dan pemprosesan madu kelulut di Kg Naluyan, Kg Bamban dan Kg Mendulong, di sini, Khamis lepas.
Terdahulu, Pegawai Daerah Matlin Dullah memberi taklimat kepada Ewon mengenai pembangunan daerah itu.ADVERTISEMENT
Adun Kadamaian itu berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan di KPLB Sabah untuk memperincikan senarai kampung yang akan dicadangkan bagi fasa pertama pelaksanaan, iaitu 10 kampung untuk BELB Alternatif dan 10 kampung lagi untuk BALB Alternatif seperti yang diperlukan oleh KPLB Persekutuan.
“Saya dimaklumkan dalam mesyuarat pasca-kabinet KPLB Sabah bahawa syor-syor yang kami kemukakan telah diperakui oleh UPEN dan KPLB Persekutuan.
ADVERTISEMENT
“Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa KPLB Sabah tidak terbabit dalam pengesyoran input-input pelaksanaan Pelan Pusingan, tetapi selepas kami diberi mandat mengetuai KPLB Sabah, kami mahu mengemukakan senarai syor mengikut keutamaan dan pandangan yang kami rasakan perlu dimasukkan dalam pelaksanaan Rancangan-Rancangan Pembangunan Kerajaan.
“Saya berterima kasih kerana syor-syor yang kami kemukakan pada bulan lepas telah diperakui,” katanya.
Ewon berkata, syor-syor tersebut adalah antara hasil dapatan daripada Permukiman KPLB Sabah yang diadakan pada awal Februari lepas.
“Syor-syor ini juga amat berkaitan dengan Bidang Keberhasilan Utama dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kerajaan Sabah kepada KPLB Sabah. Saya amat yakin, dengan adanya keharmonian dan kesatuan kerjasama pelbagai agensi/jabatan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita boleh mencapai KPI yang diberikan kepada KPLB Sabah,” katanya.Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Mengenai lawatan kerja beliau, Ewon berkata program turun padang tersebut akan membantu KPLB Sabah merancang dan membuat keputusan yang lebih baik berkaitan pembangunan luar bandar dengan mendengar taklimat di lapangan, melihat sendiri isu dan cabaran serta mengadakan sesi percambahan minda membabitkan komuniti di kampung-kampung yang dilawati.
Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut ialah Pembantu-Pembantu Menteri KPLB Sabah, Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal di samping Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan.