Tue, 16 Apr 2024

HEADLINES :


Dua penulis Sabah menang pertandingan peringkat Asean
Published on: Monday, March 25, 2019
By: Salim Bisi
Text Size:

Dua penulis Sabah menang pertandingan peringkat Asean
KOTA KINABALU: Dua penulis dari Sabah menang pertandingan menulis puisi esai peringkat Asean yang diumumkan di Jakarta baru-baru ini.       

Kedua dua penulis berkenaan ialah Rubiah Nordin dari Kota Kinabalu, dan Norhayati Tasif, dari Putatan.     

“Rubiah menang tempat kedua dan bakal menerima hadiah wang tunai RM5,880 dan sijil. Manakala Norhayati menang hadiah penghargaan dan menerima wang tunai RM1,470 dan sijil,” kata Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani, dalam satu kenyataan Sabtu lepas. 

Pertandingan yang menawarkan hadiah sejumlah RM29,412 itu merupakan anjuran Komunitas Puisi Esai Indonesia dengan kerjasama Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa).

Jasni yang juga merupakan pengerusi bersama pertandingan berkenaan berkata, hadiah dijangka akan disampaikan kepada para pemenang dalam satu majlis berprestij di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu sempena Pelancaran Festival Penulis Sabah Ke-8 pada 5 April depan.            

“Semua hadiah akan disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” katanya.

Dijangka turut hadir pada majlis itu ialah Konsulat Jenderal Indonesia di Sabah Krishna Djelani, Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Ismaily Bongsu, Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan dan juga wakil Komunitas Puisi Esai Indonesia, Fatin Hamama.           

Seramai 10 orang telah diumumkan sebagai penerima hadiah pertandingan berkenaan. Hadiah pertama dimenangi oleh Dhenok Kristianti, penulis kelahiran Yogtakarta. Tempat ketiga pula dimenangi Handry Tm, penulis kelahiran Semarang, Jawa Tengah Indonesia.                            

Manakala penulis lain yang menerima hadiah penghargaan ialah Kamerad Kanjeng, dari Yogyakarta Abdullah Wanahmad, dari Thailand, Isbedy Stiawan dari Tanjung karang, Lampung, Indonesia, Hussain Rahman dari Brunei, Fajar Mesaz dari Lampong Indonesia dan D. Kemalawati dari Aceh, Indonesia.           

Sebanyak 162 karya puisi yang ditulis para penulis Asean, telah diterima dan dinilai untuk pertandingan berkenaan. 

“Semua karya yang dihantar untuk pertandingan itu menurut panel penilai, sangat berkualiti. Namun hanya sepuluh puisi esei terbaik yang dipilih untuk meraih hadiah,” kata Jasni. 

Menurut Jasni lagi, walau pun puisi esei sebenarnya merupakan genre baharu dan penulisannya pula agak panjang berbanding puisi biasa dan memerlukan rujukan serta nota kaki, dalam proses penulisannya, tetapi ramai penulis luar indonesia yang menguasai teknik penulisannya. 

“Mereka juga menulis puisi esei dengan baik dan ini mencerminkan genre sastera baharu yang dirintis Denny JA di Indonesua itu kini mempunyai pengikutnya yang ramai di luar Indonesia,” katanya.   

Menurut Jasni lagi, para penulis beberapa negara Asean sudah mula mencintai penulisan genre ini dan di Sabah ramai penulis yang dapat menguasai teknik penulisan genre ini, dengan baik, malah berjaya meraih hadiah. 

“Ini perkembangan yang menarik dan ternyata ramai penulis negeri lain di Semenanjung dan Sarawak juga turut menghantar karya,”katanya.           

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga turut mengharapkan agar lebih banyak karya puisi esei yang dihasilkan pada masa akan datang dan dibukukan.         

Beliau juga berharap agar hadiah berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here