Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Kerajaan Sabah teruskan tindakan usir PTI: Shafie
Published on: Wednesday, April 17, 2019
By: Neil Chan
Text Size:

Kerajaan Sabah teruskan  tindakan usir PTI: Shafie
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri diterajui Warisan akan meneruskan tindakan pentadbiran Negeri sebelum ini untuk menghantar pulang mana-mana pendatang tanpa izin yang ditemui di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu sedang dilaksanakan dan beliau telah berbincang dengan kerajaan Filipina mengenai bagaimana untuk memastikan warganegara mereka dapat diurus dan dihantar pulang.

“Kita tahu ia bukan tugas mudah untuk bekerja dengan kerajaan Filipina atau kerajaan Indonesia. Untuk membantu mereka dalam penghantaran pulang memerlukan dokumentasi tapi itu sebahagian daripada tugas kita.

“Kita perlu hantar mereka pulang tapi kita berdepan pelbagai kekangan. Kita perlu berikan keutamaan dan salah satu adalah keselamatan dan pastikan mereka dihantar pulang.”

Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata kerajaan faham keperluan untuk pekerja-pekerja dalam sektor perladangan tapi turut menekankan mengenai keperluan untuk mengusir mereka yang tidak mempunyai dokumen.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh bekas Ketua Menteri Sabah merangkap Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, mengenai jika ada pendatang tanpa izin yang dihantar pulang oleh kerajaan negeri sejak sembilan hingga 10 bulan lepas.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Adun Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Adun Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengenai status semasa keselamatan Sabah susulan penangkapan 12 rakyat asing dan seorang rakyat tempatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengganas, Shafie berkata ia di bawah kawalan dan bahawa pasukan keselamatan sentiasa bekerja untuk melakukan operasi bagi mengesan kehadiran elemen-elemen militan ini.

Beliau berkata sebarang pergolakan di selatan Filipina berpotensi menjejaskan keselamatan Sabah dengan kedatangan beramai-ramai rakyat negara itu ke Sabah.

Menurutnya, beliau juga mempengerusikan satu jawatankuasa keselamatan di mana jika berlaku kedatangan beramai-ramai rakyat (dari Filipina), mereka akan mengenal pasti sebuah pulau sempadan untuk orang-orang ini supaya mereka tidak lagi boleh mendarat terus ke tanah besar Sabah.

“Ini adalah pendekatan baharu kita. Kita tidak mahu mereka datang ke Sabah tapi akan menempatkan mereka di pulau-pulau berhampiran dengan sempadan wilayan mereka. Kita telah belajar daripada masa lalu ketika 70-an dan 80-an di mana disebabkan tekanan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita terpaksa menerima orang-orang ini. Kita tidak boleh lagi membenarkan orang-orang ini menjejaskan keselamatan negeri ini.”

Shafie berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) telah dan akan terus mengadakan operasi agresif bagi menghalang kemasukan militan melalui Op Coral dan Op Lanyak, antara lain.

“Selain itu, pertukaran maklumat dilakukan secara berterusan selain operasi bersama di sempadan (maritim) Filipina dan Indonesia.”

Kepada soalan tambahan daripada Adun Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengenai apa tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri berhubung kebimbangan bahawa orang Pala’u bertindak sebagai “mata dan telinga” bagi “penceroboh” dari negara-negara jiran, Shafie berkata maklumat seumpamanya, jika ada, harus dikemukakan kepada kerajaan atau badan-badan keselamatan berkaitan.

“Sebagai pemimpin, kita tidak harus memberi persepsi bahawa satu bangsa adalah lebih berbahaya berbanding yang lain. Adalah salah untuk menyalahkan hanya satu bangsa untuk masalah seperti itu.

“Adalah penting untuk terlebih dahulu mendapat maklumat yang betul. Beri maklumat ini kepada kami dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terperinci. Jika terbukti benar, kita akan buat susulan dengan tindakan-tindakan perlu,” katanya.

Sementara itu, menjawab satu soalan daripada Adun Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, mengenai keperluan untuk memantau kumpulan-kumpulan pelampau agama supaya mereka tidak memberikan ancaman kepada keselamatan di Sabah, Shafie berkata kerajaan negeri akan membuat perubahan kepada undang-undang berhubung agama di Sabah bagi mencegah fahaman pelampau daripada disebarkan di Sabah.

Shafie berkata ini adalah bagi memastikan kumpulan pelampau agama ini tidak datang dan menyebarkan fahaman pelampau di Sabah.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here