Projek landasan kereta api KK- Kudat bukan angan-angan: Peter
Published on: Wednesday, April 17, 2019
By: Ricardo Unto
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony menegaskan bahawa adalah tepat pada masanya untuk membina landasan kereta api menghubungkan bandaraya dan Kudat .
“Jika landasan keretapi yang menelan kos berbilion ringgit boleh dibina di semenanjung, kenapa kita tidak boleh membina landasan kereta api yang sama di Sabah?” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, pada Selasa.
ADVERTISEMENT
“Adalah tepat pada masanya bagi kita untuk membina satu jaringan landasan kereta api yang akan menghubungkan Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas… dan mungkin selepas fasa pertama jaringan ini, kita boleh menghubungkan Tenom dengan Keningau, Nabawan, Kalabakan, Tawau dan Sandakan.”
Beliau menjawab satu soalan tambahan oleh Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, yang bertanya mengenai daya maju projek seumpamanya.
Peter mendedahkan bahawa landasan kereta api sejauh 175 kilometer itu akan menelan belanja kira-kira RM5.2 bilion untuk disiapkan.
“Pembinaan landasan kereta api itu adalah dengan niat yang baik sejajar dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk membina sebuah pelabuhan besar di Kudat.
ADVERTISEMENT
“Apabila siap kelak, landasan kereta api itu dijangka dapat memenuhi keperluan pengangkutan barangan dan penumpang dan ia juga boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah di Pitas, Kota Marudu dan kawasan sekitar,” katanya.
Kepada satu soalan tambahan oleh Musa, Peter menegaskan bahawa projek yang dicadangkan itu bukan sekadar angan-angan oleh Kerajaan Negeri.
ADVERTISEMENT
“Kerajaan baharu tidak membuat angan-angan, ini bukan masa untuk melakukannya kerana ini adalah masa untuk membantu rakyat yang sudah lama hidup dalam keadaan berputus asa.
“Saya yakin pembinaan landasan kereta api Kota Kinabalu-Kudat sangat dinantikan oleh penduduk di Kudat dan Kota Marudu kerana kita tahu mereka mempunyai kesalinghubungan yang teruk.”
Terdahulu, Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor bertanya Menteri Pembangunan Infrastruktur itu berhubung kemajuan projek berkenaan.
Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, bertanya soalan bagi pihak Hajiji memandangkan Hajiji telah memohon cuti daripada menghadiri persidangan tersebut.
Peter berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang melaksanakan kajian awal dan penyediaan dokumen-dokumen tender untuk kajian Terma Rujukan (ToR) yang dijangka siap penghujung tahun ini.
“Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 sebagai dana awal untuk menjalankan kajian ToR yang akan bermula tahun depan.
“Kerja-kerja fizikal, berdasarkan penemuan kajian itu, dijangka dimulakan pada 2021 dan siap pada 2024,” katanya.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Jabatan Keretapi Negeri Sabah, katanya, bercadang untuk menambah baik jaringan landasan kereta api sedia ada dan landasan kereta api baharu itu akan dapat memberikan perkhidmatan setanding dengan perkhidmatan-perkhidmatan kereta api di semenanjung.
“Memandangkan projek ini membabitkan kos yang besar, Kerajaan Negeri telah mengambil kira beberapa pilihan untuk pembiayaan seperti geran Persekutuan, pinjaman mudah serta pembabitan sektor swasta,” katanya.