LATEST NEWS :






Majoriti pesakit TB penduduk tempatan
Published on: Saturday, April 20, 2019
By: Neil Chan

Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat melalui Jabatan Kesihatan Sabah telah dan akan terus melaksanakan pelbagai program kawalan bagi membendung penularan penyakit TB dalam kalangan orang ramai termasuk pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing oleh doktor panel Growarisan.

Pemangku Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, Datuk Frankie Poon (gambar), berkata dari keseluruhan 5,008 kes TB yang dikesan di Sabah pada 2018, 31.11 peratus atau 1,558 kes adalah rakyat asing. 

Sementara di Kota Kinabalu, 327 kes (36.17 peratus) dari sebanyak 904 kes TB adalah rakyat asing. 

“Justeru, majoriti kes TB adalah dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya. 

Beliau menambah, tahun lepas, satu laporan daripada Growarisan menunjukkan bahawa 147,239 pekerja asing yang memasuki negara ini telah menjalani saringan penyakit berjangkit termasuk saringan TB melalui sinar-x dada.

“Jika disahkan seorang pekerja asing tidak sihat, mereka mesti dihantar pulang ke negara asal mereka.”

Menurutnya, Perkhidmatan Sinar-X Bergerak juga memberi perkidmatan kepada lokaliti titik panas TB tempatan seperti penjara, pusat penahanan sementara, Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) dengan kadar notifikasi TB yang tinggi lebih 100 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Khamis lepas.

Poon berkata pelaksanaan konsep Hospital Kluster oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di mana doktor-doktor pakar dari hospital-hospital pakar akan melakukan lawatan ke hospital-hospital daerah berhampiran pada kekerapan tertentu akan bermakna pesakit luar bandar yang memerlukan perkhidmatan mereka tidak diperlukan untuk ke hospital-hospital rujukan.

“Melalui pendekatan ini, perkhidmatan doktor pakar boleh dinikmati oleh penduduk di luar bandar dan akan diteruskan sehingga doktor pakar  boleh ditempatkan di hospital daerah tersebut sepenuh masa.

“Bagi menambah penjaga yang dirujuk ke Hospital Pakar di Kota Kinabalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga akan berusaha menyediakan penginapan kepada mereka yang memerlukan. Ketika ini, penginapan hanya tersedia di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak.”

Menurutnya, Skim Peduli Kesihatan bagi Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bermula 15 April, 2019.

“Skim ini disasarkan untuk memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan rendah atau Kumpulan B40 dengan memberi tumpuan kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit.

“Skim itu adalah satu projek perintis dan ditawarkan kepada rakyat Malaysia berumur 50 tahun dan ke atas yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup dan pasangan mereka yang berdaftar.

“Pelaksanaan skim ini juga membabitkan pengamal perubatan swasta yang menjalankan saringan kesihatan bagi mereka yang layak. Bagi Sabah, saringan kesihatan boleh dilakukan di klinik swasta berdaftar atau klinik kesihatan berhampiran. Setakat ini, sebanyak 50 pengamal perubatan swasta di seluruh Sabah telah mendaftar sebagai Klinik PeKa B40.”

Maklumat lanjut mengenai skim ini termasuk kelayakan dan Klinik Peka B40 berdaftar boleh didapati di laman sesawang www.pekab40.com.my.

Menurutnya Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan harga barangan di pasaran tempatan dipantau melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 dan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bagi melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan. 

Poon berkata Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memperluas Program Bank Makanan Malaysia ke kampus Universiti awam bagi membantu mengurangkan kos hidup penuntut dari keluarga berpendapatan rendah.

Program itu dijangka dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada awal Mei 2019 dan UMS akan menyediakan Bilik Makanan sebagai tempat penyimpanan makanan kering untuk diagihkan kepada pelajar mengikut jadual. Kekerapan pengambilan bantuan makanan oleh pelajar adalah sekali dalam tempoh dua minggu.

Program Bank Makanan Malaysia (PFBM) dilancarkan pada 22 Disember 2018 dan ini disusuli oleh pewujudan Yayasan Bank Makanan Malaysia pada 7 Januari, 2019.



ADVERTISEMENT


Other News
Berita Utama Hari Ini



Advertisement 


Follow Us  





Follow us on            





Berita Popular