Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


KM jawab pelbagai isu tanah dibangkitkan anggota DUN
Published on: Saturday, April 20, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

KM jawab pelbagai isu tanah dibangkitkan anggota DUN
Kota Kinabalu: Sebanyak 181.299 hektar (448 ekar) tanah rizab padang ragut Sabah di Kampung Kawang dan Kampung Peranggi di Papar telahpun diberimilik bagi tujuan pembinaan Kompleks Sukan Papar dan Kompleks Latihan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta untuk penduduk-penduduk kampung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata status sebahagian rizab padang ragut itu diubah melalui GN.83/2017 bertarikh 6 April, 2017.

“Sebanyak 129.2 hektar (319 ekar)tanah itu dirancang untuk digunakan penduduk Kg Kawang dan Kg Beringgis,” katanya ketika menjawab Adun Kawang pada penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Khamis lepas.

Menurutnya, Kerajaan akan mengkaji dan membuat perancangan bagi tanah terbabit di mana separuh daripadanya akan digunakan sebagai pusat pertumbuhan tempatan sementara baki separuh lagi dirancang untuk digunakan sebagai tapak-tapak perumahan bagi penduduk Kg Kawang dan Kg Beringgis.

Untuk makluman, katanya, Kg Seri Menanti meliputi 9.88 ha (24.4 ekar) telah diwartakan sebagai Tanah Rizab kediaman Anak Negeri kampung itu melalui GN.263/2017 pada 24 Ogos, 2017, sementara tujuh kampung yang dicadangkan masih dikaji oleh Kerajaan Negeri.

Kepada Adun Kemabong yang membangkitkan permohonan tanah yang belum diproses sejak 1980-an dan agar keutamaan diberikan kepada permohonan-permohonan tanah oleh penduduk, Mohd Shafie berkata Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur sentiasa memberi keutamaan untuk mempercepatkan permohonan tanah oleh penduduk tempatan.

Bagi Tenom, termasuk Kemabong, katanya, terdapat 3,115 permohonan tanah yang masih tertangguh setakat 30 Mac tahun ini.

Sebanyak 145 lot tanah Geran Anak Negeri (NT) membabitkan 545 hektar telah siap kerja-kerja ukur tahun lepas, katanya, sambil menambah bahawa 175 geran NT juga telah dikeluarkan bagi Tenom.

Mengenai permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) bagi 6,079 ekar tanah di kawasan Rundum di Kemabong, Mohd Shafie berkata permohonan itu telah ditolak oleh Jawatankuasa Guna Tanah Tenom dan tanah itu ketika ini didiami dan diusahakan oleh penduduk kampung akan diukur oleh Jabatan Tanah dan Ukur melalui program Pantas.

Ketua Menteri juga menjawab Adun Matunggong yang membangkitkan tanah rizab adat dan kampung dalam kawasan Borneo Samudera Sdn Bhd.

“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa Kg Pinawantai, Kg Pomonsukan, Kg Radtak “A” dan Kg Radtak “B” telahpun dikeluarkan dari Borneo Samudera Sdn Bhd dan telah diwartakan sebagai tapak kediaman Anak Negeri di bawah Seksyen 78 Ordinan Tanah Negeri, membabitkan 113.23 hektar (279.79 ekar),” katanya.

Beliau berkata pendirian Kerajaan Negeri dalam perkara itu adalah jelas kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit diminta memberi pertimbangan kepada penduduk yang sudah lama mendiami tanah terbabit.

Kepada satu isu yang dibangkitkan oleh Adun Matunggong mengenai status Pusat Kebudayaan Masyarakat Rungus di Pinawantai, Mohd Shafie berkata satu tapak berkeluasan 13.593 hektar telah diwartakan melalui GN. No 765-2012 di bawah Seksyen 28 Ordinan Tanah Negeri pada 13 Julai, 2012, di mana ia diuruskan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Jika berlaku pencerobohan di tanah itu, katanya, Kementerian terbabit perlu menguruskannya dan mencadangkan penyelesaian terbaik.

“Tapak Pusat Kebudayaan Masyarakat Rungus di Pinawantai adalah satu cadangan di peringkat kampung. Jabatan Tanah dan Ukur Sabah belum menerima permohonan untuk tujuan ini,” katanya.

Mengenai Geran Komunal di Tandek dan tanah di Kg Natu, Polipikan dan Talas yang dibangkitkan oleh Adun Tandek, katanya Geran Komunal akan ditarik balik melalui kaedah subbahagi geran tanah.

“Rancangan untuk mengagih-agihkan tanah untuk dua Geran Komunal di kawasan Tandek telah diluluskan. “Kerja-kerja mengukur bagi subbahagi lot individu akan dilaksanakan bagi membolehkan pengeluaran geran NT individu kepada semua penerima yang terlibat sebelum akhir 2020,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here