LATEST NEWS :





Sipadan Air bakal lonjak pelancongan pantai timur
Published on: Wednesday, May 15, 2019
By: Leonard Alaza

KOTA KINABALU: Sipadan Air bakal membuat penampilan sulungnya dalam industri penerbangan domestik apabila ia menerbangkan pelancong asing ke Semporna dari Kota Kinabalu, dijadualkan bermula September tahun ini.

Penerbangan sewa khas menggunakan dua pesawat Twin Otter itu juga dijangka membuat lembaran baharu dalam industri pelancongan Sabah di mana pelancong akan dapat mencapai sesetengah destinasi pelancong popular di negeri ini melalui udara.

Sipadan Air dikendalikan oleh Equus Air Sdn Bhd, dan pengerusinya Datuk Omar Ali Tun Sakaran memberitahu Harian Ekspres bahawa selain Semporna, terdapat rancangan untuk menyediakan penerbangan sewa khas dari Kota Kinabalu ke Ranau dan Kudat.

“Slogan perniagaan kami adalah ‘dari pulau ke tanah tinggi’,” katanya, merujuk kepada kawasan-kawasan di negeri ini yang menjadi destinasi-destinasi paling popular bagi pelancong asing dan tempatan termasuk Gunung Kinabalu.

Beliau berkata penerbangan sulung dua pesawat Twin Otter ke Semporna akan membawa seramai lebih  30 pelancong China.

“Malah, kami habis ditempah sepanjang tahun ini dan selepas itu kami akan mengadakan penerbangan harian antara Kota Kinabalu dan Semporna,” katanya selepas membuat kunjungan hormat pada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Selasa.

Omar optimis bahawa Sipadan Air akan membuat sumbangan penting dalam membantu Kerajaan Sabah membangunkan potensi pelancongan di pantai timur dan membina selanjutnya populariti antarabangsa Pulau Sipadan.

Rancangan besar seterusnya bagi syarikat itu, katanya, adalah mendapatkan pesawat amfibia untuk menerbangkan penumpang ke sesetengah lokasi marin dan pulau yang indah di negeri ini.

Beliau berkata syarikat itu telah menghantar seorang juruterbangnya untuk latihan di Maldives untuk tujuan itu dan ia juga sedang menyediakan modul penerbangan amfibia untuk Jabatan Penerbangan Awam.

Beliau percaya penggunaan pesawat amfibia oleh syarikat itu akan menjadi yang pertama di negara ini.

Omar juga tidak menolak kemungkinan Sipadan Air menjadi sebuah syarikat penerbangan tambang murah satu hari nanti.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular