Dr Maszlee diminta terus fokus tingkatkan mutu pendidikan
Published on: Wednesday, May 22, 2019
JOHOR BAHRU: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik diminta tidak tunduk kepada kecaman sesetengah pihak berhubung isu kuota matrikulasi baru-baru ini, sebaliknya terus fokus kepada meningkatkan mutu pendidikan kepada semua pelajar tanpa mengira kaum selaras dengan kehendak falsafah pendidikan Negara.
Pengarah Media Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berkata kenyataan Maszlee begitu jelas dan tidak seharusnya dipolitikkan.
ADVERTISEMENT
Sebaliknya, ia harus dianggap positif dan tulus dalam konteks tanpa menimbulkan sentimen perkauman, kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
“Kerajaan perlu mengekalkan status quo nisbah pengambilan pelajar program matrikulasi pra-universiti di institut pengajian tinggi awam selaras dengan hasrat awal penubuhannya bagi memberi peluang kepada golongan sasar sebenar untuk mengikuti kursus penting yang ditawarkan,” kata Mohd Solihan. Menurut beliau, kuota kemasukan pelajar ke matrikulasi bukan isu utama kerana persaingan terbuka berteraskan meritokrasi sama ada dari lepasan matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain saluran setaraf, merupakan amalan yang telah lama dipraktikkan tanpa menafikan peluang mana-mana pelajar untuk melanjutkan pelajaran,” kata beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri.
“Ketegasan Maszlee mengekalkan 90 peratus kemasukan Melayu/Bumipuera ke program matrikulasi amat disanjung kerana ia adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan usaha bagi membantu golongan Bumiputera agar mereka terus mendapat peluang ke universiti terutamanya untuk mempelajari bidang sains dan teknologi.
“Ia juga sebagai pemangkin untuk menjadikan Malaysia sebuah negara inklusif serta saksama di mana semua rakyat berpeluang meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi,” kata Mohd Solihan.
ADVERTISEMENT Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Maszlee didesak beberapa pemimpin dari MCA, Gerakan dan DAP yang menuntut Anggota Parlimen Simpang Renggam itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan. – Bernama