Kumpulan gesa kehadiran tetap TTS di Simpang Mangayau kekang perikanan haram
Published on: Thursday, May 23, 2019
By: Leonard Alaza
KUDAT: Penemuan terbaharu seekor ikan lumba-lumba dengan luka-luka ringan pada badannya mendorong sekumpulan pengusaha pelancongan dan aktivis pemuliharaan menggesa Taman-Taman Sabah (TTS) untuk mempunyai kehadiran tetap di Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mangayau bagi mengekang aktiviti perikanan haram.
Kumpulan itu yang menggelar diri mereka Persatuan Pelancongan dan Pemuliharaan Tip of Borneo & Taman Tun Mustapha berkata, masanya sudah tiba untuk badan berkanun berasaskan pemuliharaan itu menempatkan pasukan penguatkuasaannya di kawasan tersebut untuk membanteras aktiviti seperti itu.
ADVERTISEMENT
“Persatuan kami menggesa Taman-Taman Sabah untuk bergerak ke situ secepat mungkin. Sebenarnya mereka memang ada tapak di situ. Tetapi kami meminta supaya mereka mempercepatkan penugasan kakitangan mereka di situ di Tip of Borneo,” kata jurucakap persatuan, Tommy Lam.
Ikan lumba-lumba sepanjang dua meter itu, dilihat pada pukul 7 pagi oleh seorang jurulatih selam dan kakitangan pengusaha pelancongan di kawasan air cetek berdekatan pantai, tidak jauh dari Tommy’s Place, sebuah tempat penginapan swasta. Haiwan itu dikatakan dalam keadaan lemah, dengan beberapa luka ringan pada badannya.
“Mereka lihat luka-luka pada badannya itu kelihatan seolah-olah ia telah terperangkap dalam pukat tetapi berjaya melepaskan diri,” katanya.
Kumpulan penyelamat itu memberitahu Taman-Taman Sabah yang mengarahkan mereka supaya melepaskan ikan lumba-lumba itu kembali ke laut.
ADVERTISEMENT
Unit Penyelamat Hidupan Liar juga mengerahkan satu pasukan ke kawasan itu.
Tetapi dia berkata penyelamat mendapati kelakuannya pelik kerana tidak mahu berenang ke laut terbuka dan sebaliknya terus kembali ke arah pantai.
ADVERTISEMENT
“Mereka cuba melepaskannya ke laut banyak kali tetapi ia berenang balik ke arah pantai itu,” katanya, menambah ikan lumba-lumba itu digambarkan sebagai kurus.
Penyelamat mengambil masa lebih empat jam sebelum ikan lumba-lumba itu akhirnya berenang ke laut terbuka dan tidak kembali.
Tetapi kesan-kesan yang dilihat pada badan ikan lumba-lumba itu serta kelakuannya yang pelik telah menyebabkan persatuan berasa bimbang mengenai aktiviti manusia di sekitar Taman Marin Tun Mustapha.
“Jelas sekali, sesuatu telah berlaku kepada ikan lumba-lumba itu. Kalau tidak, kenapa ada kesan-kesan itu pada badannya dan menunjukkan kelakuan pelik?” katanya.
Lam menambah, ikan lumba-lumba sering dilihat di perairan berdekatan Tip of Borneo.
Terdapat banyak laporan mengenai bangkai ikan lumba-lumba, ikan paus kecil dan ikan yu ditemui di pantai-pantai di negeri ini, dengan kejadian terbaharu di Teluk Likas pada Mac.
Dilaporkan beberapa tahun lepas bahawa seekor ikan lumba-lumba sepanjang 3-meter mati beberapa hari selepas ia terkandas di pantai dan meninggalkan kisah membimbangkan.
Sampah plastik seberat 4.25kg ditemui di dalam perutnya semasa bedah siasat. Sebelum ia mati, ikan lumba-lumba itu telah memakan 21 beg plastik kecil, 11 kepingan plastik, 1 detergen plastik dan satu tali pita sepanjang 6-meter.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk melindungi dan memulihara Taman Marin Tun Mustapha di pantai utara Sabah.
MoU itu termasuk pembangunan dan pelaksanaan konsep serta mekanisme untuk pengurusan taman itu di samping satu sistem pengawasan dan penguatkuasaan bersama.