Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Armada Sabah sasar 100,000 ahli menjelang tahun depan
Published on: Sunday, May 26, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

Armada Sabah sasar 100,000 ahli menjelang tahun depan
KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat untuk menarik 100,000 belia di Sabah untuk menjadi ahlinya menjelang tahun depan.

Ketua Armada (sayap Pemuda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menetapkan sasaran itu berkata:

“Setakat ini Armada telah pun mempunyai kira-kira 100,000 hingga 150,000 ahli di seluruh negara. Matlamat saya pada tahun hadapan adalah untuk kami mencapai 100,000 ahli bagi Armada Sabah sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 24 Ketua Penaja Bahagian Armada Bersatu Sabah di Magellan Sutera Harbour di sini, Sabtu.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di mana Armada belum diwujudkan.

Hadir sama, Ketua Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Penyelaras Datuk Seri Masidi Manjun, dan Ketua Armada Sabah, Mohd Isquzawan Israq Arsit.     

Kagum dengan prestasi parti itu di Sabah, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Persekutuan berkata Bersatu Sabah bekerja dengan cepat khususnya anak muda yang terus bekerja dan berkhidmat kepada parti dan rakyat biarpun sebelum Bersatu secara rasminya melebarkan sayapnya ke Sabah.

“Bersatu Sabah, khususnya golongan muda, bekerja sangat cepat. Maksud saya, mereka terus berkhidmat dan bekerja walaupun pada peringkat awal mereka tidak memegang sebarang jawatan rasmi. Kebanyakan mereka yang saya temui benar-benar ikhlas bekerja bagi memastikan suara anak muda didengar.

“Saya akan memastikan kita akan bekerja rapat untuk memastikan semangat baik dalam Armada Sabah diteruskan demi kebaikan semua anak muda. Saya juga akan memastikan hubungan rapat antara pemimpin pusat dan negeri akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Syed Saddiq berkata Armada akan merancang banyak aktiviti untuk mendekati akar umbi, dan memastikan tiada tembok yang memisahkan antara mereka dan rakyat.

“Perjuangan belia di Sabah adalah perjuangan bersama kami,” katanya, menambah beliau akan mengatur satu mesyuarat dengan semua pemimpin Armada Sabah untuk berbincang lanjut mengenai aktiviti dan program bagi belia di Sabah.

Syed Saddiq juga berkata Armada bukanlah “pak turut” tetapi ia mahu memastikan suara anak muda didengar.

“Itulah yang unik mengenai Bersatu. Kita ada begitu banyak ruang untuk pemimpin muda naik seperti diri saya dan ramai lagi.

“Contohnya, walaupun kita parti baharu, semasa pilihan raya lepas, terdapat lebih 25 anak muda diketengahkan sebagai calon dan ia lebih daripada parti lain.

“Ia bukan saja mengenai pencalonan, malah dalam kepimpinan tertinggi dalam Pakatan Harapan (PH), Bersatu satu-satunya parti yang membenarkan seorang anak muda menjadi sebahagian daripada Majlis Presiden PH.

“Perwakilan anak muda dalam Bersatu adalah serius, kita sebahagian daripada kepimpinan, tulang belakang parti dan saya mahu memastikan semangat anak muda akan terus berkembang maju bukan saja dalam Bersatu tetapi juga dalam PH,” katanya.

Mohd Isquzawan mendahului 24 Ketua Penaja Bahagian Armada Sabah dalam menerima watikah pelantikan rasmi sebagai Ketua Penaja Armada Putatan, diikuti oleh Ceasar Mandela Malakun (Penampang), Azrul Ibrahim (Papar), Mohamad Ghazali Hajiji (Tuaran), Kahazaruddin Kahar (Tawau), Kamarul Anuar Ahmad (Kota Marudu), Fairuzz Renddan (Kota Belud), Abqaree Fawwaz Abekan (Sepanggar), Mohd Fakhruz Zaman Arsit (Kota Kinabalu), Ak Jamaluddin Pg Mohd Yassin (Kimanis), Mohd Shahril Osin (Beaufort), Zulhuzaimi Hassan (Sipitang), Maxley Edwind Marom (Tenom), Rafie Robert (Keningau), Awang Azuan Pangiran Hamzah (Pensiangan), Rosdi Abd Ghani (Ranau), Fariz Fadila Ag Kamarudin (Sandakan), Sholehuddinulfatih Mardin (Libaran), Johainizamshah Johari (Kinabatangan), Zainuddin Sabli (Beluran), Rozaizar Rozainie (Batu Sapi), Azrul Arosa (Semporna), Mohd Norazri Hassan (Silam), dan Mohammad Khairuz Azrin Ismail (Kalabakan). Jawatan ketua penaja Armada Kudat masih dalam proses penamaan.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here