TUARAN: Program ‘Street Sungkai’ mampu mengeratkan perpaduan dan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat bagi bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan, kata Pengerusi Kelab Belia Pekan Tuaran (TYTC), Mohd. Ghazali Datuk Hajiji.
Katanya, perpaduan dan silatulrahim amat penting, memandangkan masyarakat kini telah dihujani dengan pelbagai persepsi yang datang dari luar mengenai kehidupan.
“Meskipun kita mempunyai ideologi,kepercayaan dan agama yang berlainan, perpaduan dan silaturrahim sesama kita haruslah sentiasa dipelihara.
“Street Sungkai merupakan program yang bertujuan merapatkan ukhwah, mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan kita semua. Saya berharap program sedemikian dapat dijadikan sebagai program tahunan bagi kita semua,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada Program Street Sungkai di perkarangan Pusat Ekonomi Sosial Anak Tuaran (Pesat), Sabtu lalu.
Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Mohd. Yusrie Abdullah, Pegawai Daerah Tuaran, Mohd. Sofian Alfian Nair, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran, Jackley Gielbert, Timbalan Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tuaran, Abdul Kassim Razali dan Ketua Penaja Srikandi Bersatu Bahagian Tuaran, Jamaliah Antalip.
Advertisement

Program Street Sungkai yang bersifat santai dan berbuka puasa secara “potluck” itu dihadiri sekitar 200 masyarakat berbilang kaum.
Program itu adalah cetusan idea TYTC dan mendapat sokongan dan kerjasama dari Skuad AADK Tuaran, Majlis Belia Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah Daerah Tuaran, Pejabat Belia dan Sukan (P) Daerah Tuaran dan Persatuan Kabau Gawa, Armada dan Srikandi Bersatu Bahagian Tuaran, Tuaran Atheletic dan beberapa badan serta pertubuhan lain.
Antara pengisian program itu ialah persembahan lagu-lagu dakwah dan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutama pengidap penyakit kronik oleh Mohd. Yusrie.