Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Pakai pakaian tradisi etnik Sabah ke pejabat: Madius
Published on: Tuesday, June 18, 2019
Text Size:

Pakai pakaian tradisi etnik Sabah ke pejabat: Madius
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (gambar) berkata penjawat awam dibenarkan memakai busana tradisi etnik Sabah ke pejabat pada setiap Khamis.

“Pada dasarnya, perkara ini sudah dipersetujui. Setiap Khamis, contohnya, silalah berpakaian tradisi ke pejabat. Itu budaya kita, wajar ia diterima sebagai salah satu pakaian rasmi ke pejabat awam,” katanya. 

Persidangan Perwakilan Tritahunan Upko 2018 pada 12 dan 13 Oktober 2018 meluluskan usul menjadikan busana tradisi etnik Sabah sebagai pakaian rasmi pada majlis rasmi Kerajaan, tambah Madius yang juga Presiden Upko.

“Kami mengesorkan kepada Kerajaan supaya pakaian tradisi etnik Sabah dijadikan pakaian rasmi dalam majlis Kerajaan dan pada hari-hari tertentu temasuk untuk ke pejabat. Syukurlah, busana tradisi kita menjadi sebahagian daripada kod pakaian rasmi,” kata beliau.

Madius berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal sendiri telah mengiktiraf perkara itu dalam ucapan beliau semasa Majlis Penutupan Tadau Kaamatan Peringkat Negeri pada 31 Mei lalu.

Madius berkata demikian kepada wartawan di sini pada Isnin ketika diminta mengulas ucapan beliau semasa merasmikan Kaamatan Upko 2019 di Dataran Telupid, Sabtu lalu.

“Dalam Kaamatan Upko hujung minggu lalu, saya terharu dan sangat gembira melihat kepelbagaian pakaian tradisi yang diperagakan bukan sahaja oleh peserta Unduk Ngadau tetapi juga peserta Rombituon dan orang awam. Kita pulihara keunikan dan kepelbagaian ini,” kata beliau.

Madius setuju dengan pandangan Ketua Menteri bahawa perkembangan terbaru berpotensi untuk mempertingkatkan lagi ekonomi masyarakat terutama yang terlibat secara langsung dengan pembuatan busana suku kaum di Sabah, selain mencipta peluang pekerjaan.

Ketika ditanya sama ada pakaian itu termasuk memakai sigar bagi lelaki dan sirung, penutup kepala dan aksesori lain seperti limpogot dan tangkong bagi wanita, Madius berkata, “Kalau busana, ini bermakna pakaian tradisi yang lengkap. Kita cuba berpakaian selengkap yang boleh.” 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here