Kapal nelayan Vietnam dijadikan tukun tiruan di Kudat
Published on: Monday, June 24, 2019
By: Patimang Abdul Ghani
KUDAT: Sebuah kapal nelayan Vietnam yang telah dilucutkan hak oleh Mahkamah Kota Kinabalu, ditenggelamkan pada kedalaman 17 meter untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Kampung Tajau Laut dekat sini, pada Ahad.
Aktiviti pelupusan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Sabah dan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong.
ADVERTISEMENT
Kapal tersebut merupakan milik nelayan asing Vietnam yang telah didakwa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 34 Akta Perikanan 1985.
Wong ketika bercakap kepada media menegaskan bahawa, Kerajaan Negeri Sabah memandang serius jenayah pencerobohan perairan negara terutamanya yang melibatkan eksploitasi sumber marin Sabah.
Beliau memberi amaran keras kepada nelayan asing yang menceroboh dan mencuri sumber perikanan marin di perairan Sabah dan mengharapkan agar pemusnahan kapal itu menjadi iktibar kepada nelayan asing, khususnya dari Vietnam.
“Kapal yang dilucutkan hak ini dilupuskan secara musnah tenggelam dan dijadikan sebagai tukun tiruan agar komuniti nelayan di Kampung Tajau Laut dan sekitarnya mendapat manfaat.
ADVERTISEMENT
“Kita tidak akan melelong kapal kapal nelayan asing yang telah dilucutkan hak, sebaliknya kita akan menenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di kawasan perairan negeri ini untuk manfaat nelayan tempatan, hidupan marin dan juga kerajaan negeri.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Antara manfaat tukun tiruan adalah membantu meningkatkan tangkapan ikan, meningkatkan pendapatan nelayan tradisional kerana sumber ikan yang mapan dan berterusan dan menghalang pencerobohan kapal pukat tunda di kawasan pesisiran pantai, katanya.
ADVERTISEMENT
Tambah beliau, tukun tiruan juga menjadi habitat serta kawasan pembiakan ikan di kawasan pesisir pantai, membantu memulihkan dan mengkayakan sumber perikanan pesisiran pantai dan dijadikan sebagai tarikan pelancong terutamanya aktiviti perikanan rekreasi seperti memancing dan eko pelancongan selaman scuba diving pada masa akan datang.