Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


KPLB tekad pastikan tiada daerah terpencil terpinggir
Published on: Wednesday, June 26, 2019
Text Size:

KPLB tekad pastikan tiada daerah terpencil terpinggir
PAITAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah bertekad memastikan tiada daerah terpencil luar bandar di negeri ini terpinggir dalam arus pembangunan.

Sehubungan itu Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, program turun padang beliau ke kampung-kampung terpencil di kawasan pedalaman dapat memberikan gambaran sebenar keadaan kampung berkenaan dan membantunya dalam menyediakan bajet kementerian itu.

“Kita mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai, sebab itu saya datang bukan sekadar meraikan sambutan Kaamatan Raya di Kg Abuan tetapi mengingatkan saya betapa besarnya tanggungjawab kita untuk melihat keseluruhan luar bandar Sabah.

“Antara kawasan yang menjadi perhatian kita ialah Daerah Kecil Paitan yang tersenarai antara daerah termiskin di Sabah tanpa membelakangkan daerah lain. Oleh itu semua hasil dapatan daripada lawatan ini termasuk Kg Abuan dan Tagapalang di Daerah Kecil Paitan akan saya gunakan sebagi input untuk mengemukakan syor supaya diwujudkan bajet baru di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perayaan Pesta Kaamatan Raya Kampung Abuan Mukim Lingkabau, Paitan, di sini, pada Isnin.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk kampung termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air.

Katanya, tahun ini KPLB hanya diperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk Projek Pembangunan Kecil yang diagih-agihkan kepada 36 daerah penuh dan daerah kecil.

Selain itu katanya, KPLB Sabah juga mempunyai peruntukan RM2.1 juta untuk Pembangunan Usahawan Desa, RM1.17 juta (Satu Daerah Satu Produk) dan RM867,000 (Program Kampung Sejahtera) tahun ini.

“Peruntukan untuk Program Kampung Sejahtera juga agak kecil kerana kita mempunyai 55 Kampung Sejahtera seluruh Sabah dan masih banyak cadangan kampung untuk dimasukkan dalam program itu termasuk dua kampung di Mukim Lingkabau,” katanya.

Ewon berkata, dari segi pembasmian kemiskinan, KPLB Sabah mempunyai RM14 juta untuk membangunkan Mini Estet Sejahtera (Mesej).

“Dengan jumlah seperti ini, tidak banyak yang kita dapat bantu masyarakat luar bandar, sebab itu dalam satu tahun kita menjelajah Sabah, saya dapati kita memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada itu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pada tahun depan kerajaan persekutuan mempunyai peruntukan khas untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Alternatif dan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif untuk kampung-kampung yang jauh dari capaian sistem grid SESB dan Jabatan Air.

“Di peringkat kerajaan negeri pula, ada beberapa program atau projek baru yang harus dibajetkan iaitu Projek Utiliti Khas Luar Bandar. Ia juga bertujuan untuk membantu menyediakan keperluan khas bagi kampung-kampung yang jauh dari capaian Jabatan Air dan SESB,” katanya.

Ewon turut berharap Pejabat Daerah Kecil Paitan dapat menghubungi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembinaan telaga dan projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah yang dilaksanakan jabatan itu seterusnya membolehkan jabatan berkenaan melaksanakan kajian sama ada Kg Abuan mempunyai sumber air bawah tanah untuk dijadikan bekalan air bersih.

“Kita boleh menggunakan kepakaran dan teknologi yang diperkenalkan oleh JMG Sabah untuk membekalkan air bersih di kampung-kampung yang jauh daripada capaian Jabatan Air.

“Oleh itu saya berharap KPLB Sabah dapat bekerjasama dengan JMG Sabah untuk membantu menyediakan bekalan air bersih di kawasan luar bandar,” katanya.

Mengenai bekalan elektrik, beliau berkata mana-mana kampung yang jauh dari capaian Grid SESB tetapi mempunyai anak sungai atau sungai, ia boleh ditukar kepada tenaga (hidroelektrik).

Selain melawat Kg Abuan, Ewon dan rombongan turut melawat beberapa buah kampung di daerah kecil Paitan termasuk kampung-kampung di Mukim Tangkarason dan merasmikan Majlis Kaamatan Raya SMK Pinggan-Pinggan Pitas.

Turut menyertai lawatan itu Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Charles Dalansing.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here