LATEST NEWS :





Remaja disangka rusa maut ditembak rakan
Published on: Wednesday, July 10, 2019

KENINGAU: Seorang pemuda maut selepas terkena tembakan rakannya ketika memburu di kawasan Hutan Karamatoi, Sook, kira-kira 32 kilometer dari sini pada Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa Fithiwandi Feritus, 18, mati di tempat kejadian selepas terkena tembakan yang dilepaskan rakannya yang berusia 21 tahun.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Keningau ASP Lee Nyuk Lim berkata mengikut laporan diterima, mangsa bersama rakannya itu telah sepakat untuk memburu di kawasan hutan itu pada Jumaat lepas kerana mendapati kawasan itu banyak binatang khususnya rusa selepas hujan melanda kawasan itu.

Katanya ketika memburu, rakan mangsa yang sedang mengintai kehadiran rusa melepaskan tembakan ke satu arah sebaik mendengar bunyi yang disangkanya binatang itu.

Dia kemudian bergegas ke arah tersebut dan mendapati mangsa sedang terbaring dengan mengalami kecederaan teruk, katanya.

“Suspek (rakan mangsa) cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan kemudian pulang ke kampung sejauh setengah jam perjalanan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada ketua kampung,” katanya di sini, Selasa.

Lee berkata mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian leher sebelah kanan dan bahu kiri.

Katanya rakan mangsa ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut selepas menyerah diri kepada polis.

Lee berkata, suspek yang juga rakan sekampung mangsa juga didapati positif dadah jenis syabu ketika ujian air kencing dilakukan.

Dalam pada itu, Lee berkata statistik dari tahun lepas hingga hari ini terdapat empat kes direkodkan berhubung dengan kejadian tertembak rakan ketika memburu di hutan. 

Katanya dua kes pada tahun lepas membabitkan kecederaan, manakala dua kes pada tahun ini sehingga Isnin membabitkan satu cedera dan satu kematian. – Bernama 

 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular