HEADLINES :


ADVERTISEMENT




Kebakaran musnahkan 50 hektar tanah gambut di Aceh
Published on: Thursday, July 11, 2019

ACEH: Satu kebakaran memusnahkan kira-kira 50 hektar kawasan tanah gambut di Daerah Aceh Barat, Wilayah Aceh pada Isnin lepas.

“Kami sedang meneruskan usaha memadam kebakaran itu dan menghalangnya daripada merebak ke kawasan lebih luas,” kata Mashuri, penyelaran pusat kawalan operasi pejabat pengurusan bencana Aceh Barat (BPBD), pada Selasa.

Pada petang Isnin, api memusnahkan kawasan tanah gambut seluas 45 hektar di daerah kecil Johan Pahlawan dan Woyla Barat, dan pada hari berikutnya, ia merebak ke kawasan seluas lima hektar di Alue Peunyareng di daerah kecil Meureubo.

Di Kampung Seuneubok di Daerah Kecil Johan Pahlawan, 10 hektar tanah gambut telah dimusnahkan oleh kebakaran itu, sementara 35 hektar di kampung Napai dan Blang Cot di Woyle Barat musnah.

Pihak berkuasa tempatan sudah mendapatkan data kawasan yang musnah akibat kebakaran itu. Mereka percaya kawasan terjejas boleh mencecah 50 hektar.

Usaha memadam kebakaran itu dihalang oleh kekurangan air, kerana Indonesia ketika ini mengalami musim kering.

Selain itu, akses ke kawasan tanah gambut itu adalah sukar kerana tidak ada jalan raya ke kawasan tersebut.

Sementara itu, satu kebakaran memusnahkan 20 hektar tanah gambut di dua kampung di Daerah Nagan Raya, Aceh pada 4 Julai, kata pemangku ketua badan pengurusan bencana Nagan Raya (BPBD) Hamidi.

Dalam usaha menghalang kebakaran daripada memusnahkan kawasan tanah gambut di Kampung Cot Mue di Daerah Kecil Tadu Raya dan Kampung Kuala Tripa, di Daerah Kecil Tripa Makmur, daripada menjadi lebih teruk, pekerja BPBD telah membina terusan penghalang.

“Kami berjaya menghalang api daripada merebak dengan membina terusan penghalang di beberapa lokasi, tetapi usaha kami untuk menyimbahnya belum selesai sepenuhnya,” kata Hamidi, sambil menambah kawasan yang musnah adalah milik penduduk tempatan.

Dalam usaha memadam api itu, pekerja BPBD telah bekerjasama dengan anggota dari tentera dan polis serta orang ramai dengan memasang pam air di beberapa lokasi, kerana jentera bomba tidak sampai ke zon bencana, katanya.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular