Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Rezziko Alex pertaruhkan Run Now
Published on: Thursday, July 11, 2019
By: Stella Dumin
Text Size:

Rezziko Alex pertaruhkan Run Now
MULA mencari tapak dalam arena muzik tempatan, penyanyi kelahiran Ranau, Rezziko Alex, mampu menarik nafas lega apabila namanya kian meniti di bibir pendengar.

Terjun ke arena hiburan tempatan bersandarkan sebuah lagu berentak rap, Fake Hope penyanyi berusia 20 tahun itu mengakui masih samar-samar untuk meraih kedudukan selesa dalam arena ini.

Sehinggalah pada pertengahan tahun ini, ternyata tuah lagu berjudul Run Now berjaya menaikkan namanya di kalangan peminat lagu rap tempatan khususnya golongan muda.

Menggunakan bahasa Melayu dan Dusun dalam single terbaharunya, formula Rezziko Alex atau lebih mesra dipanggil Kiko ternyata berjaya apabila lagunya mendapat lebih 3,000 tontonan selepas hanya dua hari di muat naik di YouTube.

Namun, di sebalik kejayaan yang dikecapi, Kiko sedikit pun tidak menunjukkan riak puas hati atau berbangga dengan pencapaian tersebut.

Ditemui Hiburan Ekspres baru-baru ini, Kiko berkongsi alasan tersendiri untuk tidak berasa selesa dengan pencapaiannya itu. 

“Fake Hope sebenarnya sangat bermakna dalam perjalanan seni saya. Melalui lagu ini saya menemui identiti diri.

“Melalui Fake Hope yang hanya berdurasi selama 1 minit 10 saat, saya sebenarnya hanya buat untuk suka-suka saja dan memuat naik di Facebook, tapi tanpa sy jangka, jumlah view melepasi angka 20,000 dan banyak dikongsi.

“Bermula dari sana bakat saya mula dikenali dan saya menerima permintaan daripada rakan-rakan dan penggemar lagu-lagu rap untuk saya menghasilkan lagu rap yang lebih panjang.

“Maka saya pun hasilkanlah lagu Run Now ini dan muat naik di YouTube,” katanya.

Mengulas mengenai kisah di sebalik Run Now, Kiko memberitahu lirik lagu itu berkisar mengenai pengalaman hidupnya.

“Saya juga menyuntik nilai-nilai murni dalam lagu ini,  cara hormat menghormati serta memasukkan serba sedikit tentang keindahan daerah Ranau.

“Rasanya tidak melampau jika saya katakan lagu Run Now mengisahkan tentang orang Ranau itu sendiri.

“Tajuk Run Now tidak membawa maksud ‘lari sekarang’  tapi ia adalah ejaan lebih glamor Ranau yang banyak digunapakai orang-orang muda seperti saya,” katanya.

Ketika ditebak soalan mengenai siapa yang memberinya inspirasi untuk menyanyikan lagu rap, Kiko berkata: “Sudah tentu, penyanyi rap seperti K-clique dan Benzooloo, sebab lagu rap mereka ini mempunyai maksud yang mendalam.

“Saya pilih rap sebab saya sangat minat genre ini sejak dari dulu lagi. Bukan apa, saya sebenarnya tidak ada bakat untuk menyanyikan lagu  genre lain.”

Menyingkap liku yang dihadapi sepanjang menghasilkan lagu ini, Kiko tidak menafikan proses menulis lirik merupakan antara yang paling mencabar baginya.

Saya terpaksa perah otak untuk mencari rentak yang ‘ngam’ (sesuai) dengan lirik itu, saya juga perlu pastikan lirik yang saya tulis itu ada maksud dan yang paling penting adalah mesej yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini sampai kepada pendengar.

“Untuk Run Now ini, saya hanya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkannya. Syukur rakan saya Amzar Aziq dan A’ Rush juga penyanyi rap tempatan banyak membantu saya dalam menghasilkan lirik Run Now ini.

“Mungkin ada yang mempertikaikannya atau tidak percaya ia dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Apa yang berlaku sebenarnya ialah saya mengeluarkan teaser untuk lagu itu terlalu awal di Facebook. Jadi saya tiada pilihan selain terpaksa bertungkus-lumus untuk menyiapkan lagu ini dalam masa dua hari, termasuk klip video.

“Selain itu, memandangkan kos rakaman di studio sekarang agak tinggi, maka saya memilih untuk membuat sesi rakaman Run Now di sebuah Kafe Siber milik kawan saya Ralflin Yasidin. Saya beruntung kerana mempunyai kawan saya sangat sporting.

“Masa recording, ramai pelanggan sedang main game tapi sana juga kami buat recording, saya sangat berterima kasih sama dorang (mereka) sebab sangat sporting semasa kami merakam lagu ini,” katanya.

Mengulas mengenai penggambaran klip video ini, Kiko memilih beberapa lokasi pelancongan sekitar Ranau seperti Air Panas Poring, sekitar pekan Ranau, Kundasang antara lain.

“Saya dan Amzar yang juga merupakan tulang belakang dalam menghasilkan klip video ini memilih kawasan Ranau dalam masa sama boleh menonjolkan tempat-tempat menarik yang ada di Ranau dalam klip video Run Now.

Mengakui masih hijau dalam arena muzik rap tempatan, Kiko bagaimanapun memasang impian untuk berkolaborasi dengan idolanya K-clique suatu hari nanti.

“Jika diberi peluang, saya harap dapat berguru dengan mereka. Mereka sangat berbakat,” katanya.

Dijentik pertanyaan sama ada mahu mencabar diri untuk menghasilkan lagu rap dalam bahasa Dusun sepenuhnya, Kiko tidak mempunyai masalah untuk menyahut cabaran tersebut.

“Saya memang sukakan cabaran, namun untuk karya saya yang akan datang saya mahu mencapai lebih banyak peminat lagu rap di seluruh negara. Jadi bahasa Melayu atau Inggeris adalah bahasa yang lebih sesuai supaya semua orang faham mesej yang saya cuba sampaikan dalam karya saya,” katanya.

Beralih tentang maklum balas pendengar mengenai Run Now, Kiko yang juga pernah mewakili Sabah dalam pertandingan e-sport dalam permainan Tekken 7 baru-baru ini lega kerana ramai yang memberi maklum balas positif terhadap karyanya.

“Tapi macam biasa, kalau ada yang suka mesti ada juga yang tidak suka. Memang ada segelintir yang mengecam saya, antaranya saya merepek dalam lagu ini, namun saya jadikan kecaman tersebut sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya pada masa akan datang.

“Malah kritikan mereka itu juga saya jadikan panduan untuk memperbaiki kelemahan dalam karya saya.

“Bukan semua orang dapat terima apa yang kita buat, bagaimanapun saya minta maaf sekiranya ada kekurangan dalam Run Now,” ujarnya.

Kiko berharap Run Now memberi inspirasi kepada anak muda untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka.

“Daripada buat perkara yang tidak berfaedah lebih baik isi masa lapang dengan perkara berfaedah seperti menghasilkan karya seni,” kata Kiko.

Kiko juga berterima kasi kepada individu yang telah menyokong karyanya.

“Saya minta maaf kalau ada tersalah cakap sehingga menguris hati dalam Run Now. Untuk karya saya akan datang saya akan berusaha memperbaiki setiap kelemahan InshaAllah. Teruskan menyokong karya tempatan kita, kalau bukan kita siapa lagi, Ranau di hatiku,” katanya menutup perbualan.

 

[email protected]





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here