LATEST NEWS :





Satu kejayaan luar biasa
Published on: Thursday, July 11, 2019
By: GL Oh

KOTA KINABALU: Kejayaan Tambadau Sabah memenangi gelaran musim ini merupakan satu kejayaan luar biasa memandangkan mereka hampir tidak mempunyai apa-apa untuk memulakan musim.

Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berada dalam krisis ketika pasukan bersiap memulakan latihan pra musim susulan peletakan jawatan presidennya pada November, Alijus Sipil yang sebelum itu dipilih selepas Tan Sri Musa Aman meletak jawatan pada Mei.

Selepas beberapa minggu ketidakpastian, Datuk Peter Anthony mengumumkan pada awal Disember bahawa beliau telah diamanahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal untuk datang membantu menstabilkan keadaan.

Ramai yang ragu-ragu dengan ketibaannya di arena itu. Cara kepimpinannya mungkin tidak menyenangkan semua orang tetapi beliau pastinya mendapat kepercayaan pemain-pemain dan kakitangan kejurulatihan. Beliau turut menunaikan janjinya untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain selama tiga bulan sebaik beliau dilantik sebagai pemangku Presiden.

Kehadirannya turut mengelakkan pemain penting daripada meninggalkan pasukan dan membolehkan Safa mendaftarkan pemain-pemain dengan FAM tepat pada masanya untuk musim baharu.

Di atas padang, walaupun persiapan kurang memuaskan, pasukan memulakan musim dengan baik selepas kekalahan 1-2 kepada JDT II pada perlawanan pembukaan. Mereka mengharungi enam perlawanan tanpa kalah selepas itu, dengan empat kemenangan dan dua seri, bagi mengungguli carta buat pertama kali.

Mereka kemudian mengalami kekalahan kedua musim ini apabila tewas 1-2 kepada Selangor United. Selepas itu, mereka bangkit dengan mencatat lapan kemenangan dan dua seri, yang bukan sahaja membolehkan mereka naik ke Liga Super musim depan, tetapi 40 mata yang dikutip juga menyaksikan mereka dimahkotakan sebagai juara Liga Premier musim ini ketika berbaki dua perlawanan.

Pasukan juga mencapai kejayaan itu dengan kebanyakan pemain tempatan yang bersama pasukan sejak tiga musim lepas.

Ketua jurulatih Jelius Ating turut mencipta sejarah dengan menjadi orang pertama dari Malaysia Timur memenangi gelaran liga sebagai pemain pada 1996, di mana Sabah memenangi gelaran liga pertama mereka, dan 23 tahun kemudian sebagai jurulatih.

Untuk rekod, Sabah menghabiskan lebih banyak masa di divisyen kedua sejak pengenalan Liga Super pada 2004.

Mereka berjaya kekal di liga atasan selama dua musim sebelum tersingkir ke Liga Premier.

Mereka berjaya kembali ke liga atasan pada 2011 tetapi mengalami nasib sama seperti sebelum itu dan ia juga hanya bertahan selama dua musim.

Piala FA Malaysia adalah trofi kemenangan pertama buat Sabah di era profesional pada 1995 dan mereka hanya memenangi gelaran liga sekali pada 1996 di divisyen pertama. 

 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular