ADVERTISEMENT


HEADLINES :




Shafie yakin tambahan 13 kerusi DUN Sabah lulus
Published on: Friday, July 12, 2019
By: Neil Chan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yakin akan mendapat sokongan bagi Rang Undang-Undang (RUU) untuk menambah bilangan Kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah daripada 60 kepada 73.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan melobi Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat minggu depan untuk menyokong RUU itu yang telahpun diluluskan oleh DUN Sabah.

“Rang Undang-Undang kerusi tambahan itu dibentangkan di DUN Sabah sebelum pilihan raya umum oleh kerajaan terdahulu, jadi ia telahpun diluluskan dan tidak ada sebab untuk kita tidak menyokong ini, kerana ia akan membolehkan kita mempunyai lebih ramai perwakilan di Sabah.

“Saya akan berada di Parlimen pada 16 dan 17 Julai ini dan akan turut membahaskan sebagai Ahli Parlimen mengenai kenapa kami berikan sokongan tapi saya tidak mahu mendedahkan butiran-butiran itu sekarang.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai RUU itu selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah Ke-7 di sebuah hotel di sini, Khamis.

“Kami yakin RUU itu tidak akan membabitkan sebarang pindaan, hanya kerusi negeri jadi saya yakin kita akan mendapat sokongan,” katanya sambil menambah, majoriti mudah sudah memadai.

“Itulah sebabnya kenapa saya akan menghabiskan masa sehari atau dua hari di sana bagi memastikan kita boleh melobi, menjelas dan membahaskan sebab-sebab itu.”

DUN Sabah telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Sabah untuk membolehkan 13 kerusi baharu diwujudkan pada Ogos 2016. Bagaimanapun, cadangan itu belum lagi dibentangkan di Parlimen. Ia dijangka dibentangkan pada 17 Julai ini.

Sementara itu, terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata Kerajaan Sabah terbuka kepada perbincangan dengan pemain-pemain industri bagi memastikan kita boleh membawa sektor minyak dan gas ke tahap lebih tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi ribuan rakyat Sabah.

“Kami menginginkan perkongsian padu dan kolaborasi strategik yang dapat memacu sektor yang menguntungkan ini pada landasan yang betul untuk berjaya. Untuk mendapat manfaat sepenuhnya dalam sektor ini, kita mesti menangani cabaran yang sinonim dengan sektor minyak dan gas di Sabah.

Beliau berkata di pihak kerajaan Sabah, pada Disember tahun lepas, kerajaan telah meminda Ordinan Perlombongan 1960 kepada Enakmen Perlombongan (Pindaan) 2018 untuk menguruskan pendapatan mineral dari Sabah seperti minyak dan gas dengan lebih baik.

“Pindaan itu juga membolehkan Sabah mengutip cukai jualan ke atas sumber semula jadi yang diekstrak dari perairan kita serta hasil daripada produk petroleum. Ini akan melonjakkan lagi industri minyak dan gas di Sabah.

Shafie berkata salah satu isu yang membantutkan pertumbuhan masa depan sektor itu ialah modal insan mahir.

“Di Sabah, terdapat kekurangan kemampuan dalam hal kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengubah peluang dan potensi menjadi kekayaan sebenar untuk kepentingan rakyat. Terdapat permintaan yang akut untuk graduan yang dilengkapi dengan kemahiran praktikal, penyelidikan yang mantap dan sistem pengurusan pengetahuan yang bijak.

“Saya menyeru pemain industri untuk bersama-sama kami dengan melabur dalam latihan, penyelidikan dan inovasi, latihan dan penempatan siswa serta pengkomersialan pengeluaran intelektual.”

Beliau berkata dengan deposit minyak dan gas utama, Sabah telah lama menjadi sebahagian daripada industri minyak dan gas utama Malaysia.

“Industri ini adalah pemacu ekonomi negara yang kuat dan hasil Sabah banyak diperoleh daripada minyak dan gas.

“Kerajaan Malaysia juga berminat untuk menekankan keperluan industri minyak dan gas Sabah untuk mempelbagaikan lagi rangkaian produknya dan memanfaatkan lokasi strategik negeri ini untuk menarik lebih banyak syarikat minyak dan gas, pelabur serta peniaga.”

Beliau berkata, Sabah sebenarnya berminat untuk meningkatkan penyertaannya dalam perkhidmatan medan minyak dan lokasinya di Laut China Selatan dan peranan penting dalam industri minyak dan gas domestik adalah faktor yang memastikan industri itu terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular