Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


3.8 juta pengundi baharu pada PRU akan datang
Published on: Monday, July 15, 2019
By: Winnie Kasmir
Text Size:

3.8 juta pengundi baharu  pada PRU akan datang
SANDAKAN: Seramai 3.8 juta pengundi baru dijangka layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 jika Rang Undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun hingga kepada 18 tahun diluluskan semasa persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong (gambar) berkata Malaysia ketika ini mempunyai hampir 15 juta pengundi berdaftar daripada jumlah penduduk seramai 31 juta.

“Jadi, jika Rang Undang-undang itu diluluskan, kita akan mempunyai kira-kira 18 juta pengundi yang layak dalam pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun, Rang Undang-Undang itu memerlukan sokongan dwipartisan untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan, kerana Pakatan Harapan (PH) ketika ini hanya memegang 139 dari 222 kerusi di Parlimen.

“Pindaan ini dibuat untuk rakyat dan saya gembira atas maklum balas daripada pemimpin parti pembangkang yang menyuarakan sokongan,” katanya semasa satu sidang media di Lapangan Terbang Sandakan.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, yang bertujuan untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu, dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada 4 Julai.

Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, bertujuan untuk meminda Perkara 119(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan lebih ramai warganegara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan selaras dengan sistem demokratik progresif.

Dalam perkembangan lain, Liew berkata ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah buat Sabah apabila Rang Undang-undang untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah dengan tambahan 13 kerusi, dibentangkan dan diluluskan di Parlimen minggu ini.

“Saya harap semua Ahli Parlimen Sabah akan menyokong langkah ini untuk memastikan kita akan mendapat kerusi baru,” katanya.

Pada 9 Ogos 2016, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan pindaan kepada Perkara 14 (2) Perlembagaan Negeri Sabah untuk meningkatkan bilangan Anggota Dewan Undangan negeri dari 60 kepada 73. Ia diwartakan selepas menerima persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Berdasarkan persempadanan baharu itu, kerusi baharu yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Sementara itu, Liew juga berkata bahawa Rang Undang-Undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober sebaik Kerajaan memutuskan mengenai tempoh penjara yang sesuai untuk 11 kesalahan jenayah serius yang dirangkuminya.

Beliau berkata pasukan petugas akan ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu.

“Ini akan melibatkan peralihan besar dalam dasar dan oleh itu, Kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji dan membuat keputusan,” katanya.

Liew berkata pasukan petugas juga akan mengkaji hukuman penjara seumur hidup dan meneliti kemungkinan mengurangkan tempoh penjara di antara 10 dan 30 tahun.

Pada masa ini, 11 kesalahan itu berada di bawah dua akta - sembilan di bawah Kanun Keseksaan, termasuk pembunuhan, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan melakukan tindakan keganasan, dan dua di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here