Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Dalang video seks sudah  dikenal pasti: KPN 
Published on: Monday, July 15, 2019
Text Size:

Dalang video seks sudah  dikenal pasti: KPN 
KUALA LUMPUR: Dalang di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (gambar).

Tanpa mendedahkan butiran lanjut berkenaan dalang itu, beliau berkata pihaknya telah mempunyai ‘bayangan’ dalang yang terlibat kes itu, dan telah membuat beberapa tangkapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.

“Siasatan kes ini tertumpu kepada dua siasatan, iaitu kami menyiasat mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu, dan mereka yang menyebarkan video berkenaan.

“Dalam kes ini, kami kesan terdapat wujud konspirasi dan pakatan pihak tertentu dalam pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri, untuk menjatuhkan seseorang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Perumahan Blok Melati Polis Diraja Malaysia di Setiawangsa, di sini malam Sabtu lepas. 

Abdul Hamid berkata sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, pihaknya akan melakukan tindakan menahan semua yang terlibat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada saksi berkaitan, serta melakukan tangkapan ke atas mereka yang disyaki menyebarkan video berkenaan.

“Mereka yang terlibat dalam menyebarkan (menularkan) video seks sejenis berkenaan juga akan diambil tindakan. Kita sedang mencari siapa yang salah guna laman sosial untuk sebarkan video itu menerusi telefon-telefon bimbit yang dikesan,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata kertas siasatan kes berkenaan perlu dikemas kini dan ditambah baik, dengan pasukan Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman yang menyiasat kes berkenaan terpaksa berulang alik ke Sandakan, Sabah dan ia makan masa yang lama.

Katanya terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil dan diteliti terlebih dahulu, sebelum kertas siasatan melibatkan individu yang terlibat dalam video seks itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Tindakan yang perlu diambil itu pun atas arahan daripada pihak pendakwa raya, sebab kita telah pun menghantar fail itu dua kali dan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, dengan yang terakhir pada Khamis lepas.

“Pihak Jabatan Peguam Negara memberikan arahan-arahan tertentu untuk mendapatkan keterangan kes, maka kami dapatkan kenyataan daripada individu terlibat, terpaksa ke Sandakan,” katanya.

Mengenai ketulenan video itu, Abdul Hamid berkata video itu telah dihantar ke makmal untuk pengecaman dan ia memakan masa untuk mendapat keputusan. – Bernama





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here