Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


G-mie kembali menyanyi
Published on: Tuesday, July 16, 2019
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

G-mie kembali menyanyi
MINAT terhadap bidang nyanyian tidak pernah bernoktah dalam diri penyampai radio Sabah FM, DJ G-mie atau nama lengkapnya, Emran Azmie Rosle.

Lebih dulu dikenali sebagai penyanyi, G-mie, yang juga seorang wartawan penyiaran dan personaliti TV, kembali menghiasi persada seni suara selepas enam tahun berehat dalam arena itu. 

Bukan untuk mengejar glamor, jauh sekali kerana tamak, G-mie berkata dirinya kembali atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian.

“Di usia senja seperti saya, untuk apa mencari populariti. Lagipun, saya sudah mempunyai kerjaya sendiri. Saya percaya ramai lagi bakat baharu dalam kalangan anak muda Sabah, jadi mereka lagi banyak peluang (untuk mencipta nama sebagai penyanyi).

“Cukuplah kehadiran semula saya ini dapat merancakkan lagi persada seni hiburan negeri kita,” katanya ketika ditemui Hiburan Ekspres di studio rakaman, Kota Kinabalu Music Production (KKMP) di Tanjung Aru, baru-baru ini.

Menyambung bicara, G-mie berkata, kerjayanya sekarang selaku penyampai radio juga memudahkannya untuk mengatur masa sebagai penyanyi berbanding ketika bergelar wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah.

“Kesibukan sebagai wartawan menyebabkan saya memutuskan untuk berehat seketika dalam bidang nyanyian. Malah, kerana terlalu sibuk single kedua saya, Menemani Aku Selalu yang dikeluarkan pada 2013 tidak dapat dipromosikan sebaiknya. 

“Saya masih juga menyanyi sebenarnya selama ini tetapi hanya apabila ada persembahan di RTM. Tetapi tidak dapat meluangkan masa untuk merakamkan lagu baru.

“Sekarang sebagai DJ, masa itu banyak, senang untuk saya mengatur masa sama ada bagi menjayakan undangan menyanyi mahupun merakamkan lagu. Inilah masanya untuk saya muncul semula. Tahun ini, saya merancang untuk keluar dengan tiga atau empat lagu baharu,” katanya.

Pengendali segmen Bah Ngam Lah Tu itu bakal keluar dengan single ketiganya, Aku Ingin Kembali, yang mendapat sentuhan Nazri Saidali, pada hujung minggu ini.

Lagu ketuhanan yang mengetengahkan jalur pop rock itu merupakan kerjasama keduanya bersama komposer prolifik berkenaan selepas projek medley lagu raya pada Aidilfitri lepas. “Saya melihat Nazri adalah seorang komposer yang cukup komited. Setiap tahun beliau keluar dengan lagu baharu sebab itu saya ingin bekerjasama dengannya.

“Sebenarnya, kami mula merancang untuk bekerjasama sejak tahun lalu lagi. Sepanjang tempoh itu, banyak lagu yang Nazri perdengarkan kepada saya. 

“Antara semua lagu itu, Aku Ingin Kembali paling ngam dengan jiwa saya sama ada dari segi genre, muzik mahupun liriknya, yang saya boleh katakan mempunyai unsur-unsur yang sesuai dengan umur saya,” katanya.

Terdahulu, G-mie turut berkolaborasi dengan sebuah kumpulan dari Kudat, Kiamai Band menerusi lagu ciptaan Donnye Ryen, Gadis Biasa. Bulan depan, beliau dijangka keluar dengan sebuah lagi single berjudul Move On, yang dihasilkan oleh Sonny Bahari.

Turut dalam perancangan seninya, G-mie memberitahu, jika tiada aral melintang, beliau berhasrat untuk mengeluarkan sebuah lagi single tahun ini, yang ditujukan khas buat isterinya. Berjudul Kaulah Bidadariku, lagu itu mendapat sentuhan seorang lagi komposer terkenal, Alvy Durin.

 

Perkahwinan terakhir

Diusik dengan soalan ‘nakal’ mengenai perkahwinan ketiganya, G-mie yang terbuka bercakap mengenainya, berkata beliau berharap perkahwinan itu bakal menjadi yang terakhir.

“Kaulah Bidadariku adalah hadiah untuk isteri sebagai menghargai dia sebab saya pernah berkawin sebelum ini tapi gagal. Yang kedua pun gagal, pastinya yang ketiga ini saya tidak mahu gagal.

“Orang lain ada yang bilang serik mahu berkahwin, tetapi bagi saya jodoh itu tuhan yang atur. Bagi saya yang lepas itu, biarlah lepas.  “Lebih baik saya tumpukan kepada perkahwinan sekarang dan saya bersyukur kerana isteri sanggup menerima saya.

“Anak-anak saya dari bekas isteri pertama dan kedua juga pun menerima baik perkahwinan baru saya ini. Alhamdulillah, mereka gembira dan ia sesuatu yang bagus. 

“Sudah tentu, cabaran itu tetap ada. Bagaimanapun, saya tidak akan melatah kerana pengalaman sebelum ini (dari perkahwinan terdahulu) telah mematangkan saya,” katanya. Tambah bapa kepada juruhebah siaran Bajau Sabah VFM, DJ Azmi itu, dirinya bersyukur kerana ketika ini beliau bersama enam anaknya termasuk tiga anak tirinya, sudah boleh berjalan bersama-sama.

Hasil perkahwinan pertama, G-mie dikurniakan tiga orang, termasuk DJ Azmi, 24, dan dua lagi berumur 18 dan 16 tahun. Seorang lagi, 7 tahun adalah dari perkahwinan kedua.

Dua orang lagi, berumur 8 dan 6 tahun, merupakan anak tirinya, daripada perkahwinan terdahulu isterinya.

 

Bantu komposer Sabah

Kagum dengan keampuhan bakat komposer Sabah, ungkapnya, salah satu tujuan dirinya kembali menyanyi juga adalah bagi membantu penggubah lagu dan lirik tempatan. 

“Sebagai penyanyi, saya sangat menghormati komposer kerana saya tahu untuk buat lagu bukan senang. Saya pernah cuba buat (lagu) tapi memang tidak boleh.

“Sekiranya ada komposer yang berminat untuk saya menyanyikan karya mereka, apa salahnya. Win-win situation kita bilang, saya akan cuba bantu naikkan nama mereka dengan menyanyikan lagu mereka. Biarlah itu rezeki mereka,” katanya.

Meskipun juruhebah radio adalah karier hakikinya ketika ini, G-mie juga seorang pengacara, pembaca berita TV bahkan ada masanya masih lagi turun padang sebagai wartawan.

Bersyukur dianugerahkan dengan pelbagai bakat, begitupun, G-mie tidak merasakan dirinya tamak dalam melakukan sesuatu.

“Kalau diikutkan, saya menyertai RTM kerana saya ingin jadi DJ. Tetapi apabila saya menjalani ujibakat, pihak pengurusan mungkin nampak bakat saya di tempat lain, sebab itu saya dimasukkan dalam bilik berita. “Pada Disember 2017, saya dipindahkan ke Sabah FM sebagai penyampai radio. Tetapi, saya masih lagi dipanggil oleh pengurusan RTM selaku pembaca berita, pengacara bicarawara dan bahkan untuk turun padang menjadi pemberita.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan RTM masih memerlukan bakat saya. Saya tidak tahu (pendapat) orang lain, ini adalah rezeki masing-masing. Prinsip saya cuma satu, saya akan terus berkhidmat selagi bakat saya diperlukan,” katanya.

[email protected]





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here