Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


O.N.E buat reunion?
Published on: Saturday, July 20, 2019
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

O.N.E buat reunion?
Salah seorang anggota One Nation Emcees (O.N.E), Kozae mengakui kumpulan hip hop dari Sabah itu merancang untuk kembali mewarnai industri hiburan negara, tahun ini.

Kali ini, tambahnya, mereka akan kembali berempat.

“Perancangan itu memang ada, sebenarnya sejak dua atau tiga tahun lepas lagi. Cuma, setakat ini belum ada kata putus, masih dalam perbincangan.

“Memandangkan kami terlalu sibuk dengan aktiviti solo masing-masing, jadi waktu itu rasa belum sampai masanya untuk reunion. Kira kami sedang mencari masa yang sesuailah.

“Insha Allah, kalau tiada halangan tahun ini peminat dan penyokong O.N.E boleh tengok kami empat sekawan kembali beraksi,” katanya ketika dihubungi Hiburan Ekspres.

Selain Kozae atau nama penuhnya, Mohamad Fareezan Mohamed Murtaza, O.N.E turut dibarisi Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali sebagai Mimi Fly, Mohd Norzaidi Edris (Zaydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe).

Kali terakhir O.N.E muncul ialah pada 2012 menerusi lagu Anak Kampung bersama penyanyi terkenal Sabah, Jimmy Palikat. Ketika itu, mereka cuma dianggotai Mimi, Zaydee dan Jojoe.

Sebelum itu, pada 2011, Kozae memutuskan untuk keluar sementara daripada O.N.E bagi menumpukan perhatian kepada projek solonya. Begitupun, Kozae menafikan hubungannya bersama anggota lain ‘dingin’. “Kalau orang cakap kami berpecah, itu tidak benar. Sebaliknya, kami masih lagi saling berhubung dan buat lagu sama-sama untuk projek solo masing-masing.

“Hubungan kami tetap baik. Malah, saya pernah bekerjasama dengan Mimi untuk lagu solo saya, Kau Indahkan Mimpiku. Demo lagu pun banyak kami buat sama-sama di home studio saya,” katanya.

Tambah Kozae, O.N.E tidak lengkap tanpa ada salah seorang anggotanya.

“O.N.E adalah hati kami, jantung kami untuk berkarya. Bila bergerak solo, rasa kurang.

“Kiranya, kami berempat saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya, yang turut aktif dalam kerja belakang tabir untuk produksi drama televisyen.

Ketika ini, katanya, mereka sedang mengumpulkan beberapa idea sebagai persediaan kemunculan semula kumpulan itu.

Ditubuhkan pada 2002, O.N.E mula dikenali ramai selepas menjuarai program realiti televisyen Gang Starz terbitan TV3 musim kedua, pada 2008.

Sejak itu, mereka berjaya mencipta populariti dalam industri seni arus perdana menerusi lagu-lagu seperti Raja Gelek, Selamanya Sayang, Hoi Ya Ho dan Anak Kampung (feat. Jimmy Palikat) sebelum memutuskan untuk berehat tujuh tahun lepas.

Hari ini, Kozae melihat kejayaan diraih artis hip hop / rap dari Sabah seperti K-Clique dan Benzoloo yang kini meniti populariti di pentas seni arus perdana sebagai sesuatu positif.

“Ini adalah satu perkara yang positif buat mereka dan (bakat baharu) yang bakal ada nanti. Teruskan momentum itu, sentiasa cari benda baru dan teruskan belajar. “Saya juga berharap mereka dapat menampilkan lebih banyak bakat baharu dan membuka jalan antara satu sama lain. Saya ucapkan semoga berjaya kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai insiden sindir-menyindir antara bakat muda Sabah, Kozae berkata ‘dissing’ adalah sesuatu yang normal dalam arena rap dan hip hop.

“Maksudnya antara mereka (penyanyi rap) akan ada sindir-menyindir atau mengutuk antara satu sama lain kerana memang itulah dunia rap dan hip hop. Contohnya, kalau kita mendengar lagu Eminem rata-ratanya mempunyai kedua-dua elemen ini.

“Orang akan menilai siapa yang terbaik melalui penggunaan bahasa, susunan ayat dan juga mainan kata. “Cumanya di Malaysia apabila kita ingin memasuki pasaran arus perdana, memang sedikit sukar untuk buat begitu kerana kita perlu sesuaikan dengan selera pendengar kita,” katanya, yang mula meneroka dunia rap sejak awal 2000an.

Kazalinah Kamaludin

[email protected]





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here