Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Pendedahan awal kepada seni budaya
Published on: Saturday, July 20, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

Pendedahan awal kepada seni budaya
Kota Kinabalu: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara memberi banyak penekanan pada pendedahan awal kepada seni budaya, kata Ketua Pengarahnya Tan Sri Norliza Rofli.

Sehubungan itu, antara inisiatif yang diambil oleh JKKN adalah Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB).

“Melalui program ini, pelajar sekolah rendah dan menengah diberikan pendedahan awal kepada kesenian seperti tarian, teater, muzik, permainan gasing, silat dan seni pidato,” katanya semasa majlis penyampaian sijil penghargaan, di auditorium JKKN Sabah, di sini, Jumaat.

“Ini akan menanam minat dan keazaman untuk seni dalam golongan ini agar mereka berjaya pada masa akan datang.”

Selain itu, Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN), katanya, memainkan peranan penting dalam melatih pelajar.

“Setakat ini, kira-kira 246,401 pelajar mengambil bahagian dalam PBSB dengan 2,376 jurulatih mengajar di 9,626 sekolah di seluruh negara sejak 2006.

“Tahun ini, PBSB yang dilaksanakan di Sabah membabitkan kira-kira 10 sekolah, 10 jurulatih dan 250 pelajar,” katanya.

Sekolah-sekolah itu adalah SK Balung Tawau untuk teater, SK Pekan Telipok (muzik), SK Kawang Papar (permainan gasing tradisional), SK Kepayan Kota Kinabalu (seni pidato), SJK(C) Khoi Ming (tarian), SMK Taman Ria Tuaran (muzik), SMK Kuhara Tawau (silat), SMJK Ken Hwa Keningau (tarian), SMK Pangiran Omar II Sipitang (permainan gasing tradisional) dan SMJK Tiong Hua (teater).

Beliau berkata JKKN juga menyelaraskan program Genius Seni yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidkan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Genius Seni merupakan program latihan dan pembelajaran berstruktur bagi kanak-kanak berbakat yang berumur antara enam dan 17 tahun.”

Program tersebut meliputi tiga bidang – koir, muzik dan tarian.

Ia juga terbahagi kepada dua kategori – Genius Seni Kanak-Kanak (umur enam hingga 12 tahun), dan Genius Seni Remaja (13-17 tahun).

“Peserta Genius Seni Remaja perlu menjalani proses pembelajaran berstruktur menggunakan silibus diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran agar mereka boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DPM) dalam seni,” katanya.

Mengenai Dance World Cup 2019, Norliza memuji pencapaian kontinjen Malaysia.

Dalam pertandingan tersebut yang diadakan di Portugal, pasukan negara yang diwakili oleh penari-penari muda dari Sabah membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak, dan empat pingat gangsa.

Penari-penari datang dari SK Mutiara Kota Kinabalu, SMK Tun Fuad Stephens Kiulu, Tagaps Dance Theatre, Standsa SRK St Agnes, dan SJK(C) St James Likas.

Beliau juga tidak mengetepikan kemungkinan untuk Malaysia menjadi tuan rumah kepada acara berprestij itu.

“Saya percaya bahawa dunia sudah mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai tarian unik,” katanya.

Dance World Cup menerima penyertaan lebih 12,000 kanak-kanak dan remaja dari seluruh dunia setiap tahun.

Pertandingan ini mempunyai standard tinggi, yang mendorong sambutan memberangsangkan daripada kumpulan-kumpulan tarian di seluruh dunia.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here