LATEST NEWS :





Tiada Disisiku rungkai kisah hidup Kamal Addin selepas pemergian isteri
Published on: Friday, August 09, 2019
By: Kazalinah Kamaludin

PEMERGIAN isteri tercinta tiga tahun lalu akibat kanser payu dara bukan situasi mudah untuk dilalui penyanyi baru, Kamal Addin atau nama penuhnya, Kamalludin Idris, 30.

Bukan tidak mampu menerima hakikat kehilangan insan tersayang, namun begitu banyak kenangan yang dikongsi bersama isterinya masih segar diingatan.

Rindu yang tak pernah padam terhadap arwah dicurahkan Kamal dalam single sulungnya, Tiada Disisiku.

“Arwah isteri mula dikesan menghidap kanser payu dara pada 2015. Tidak sampai setahun, dia menghembuskan nafas terakhirnya pada pertengahan 2016.

“Selepas arwah isteri meninggal dunia, saya banyak menghabiskan masa bersendirian dan pada masa itu saya juga aktif berbusking untuk mencari ketenangan di sekitar KK, antaranya adalah KKIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu).

“Ketika inilah saya banyak bermimpikan arwah isteri dan terciptalah lagu ini pada November 2016. Lagu ini sebenarnya tentang kehidupan saya selepas ketiadaan arwah,” katanya.

Walaupun dicipta khusus untuk isteri tercinta, Kamal berharap Tiada Disisiku boleh menjadi kekuatan kepada penghidap kanser payu dara atau ahli keluarga mereka.

“Bagi mereka yang menghidap kanser dan ahli keluarga mereka, saya harap mereka banyakkan berfikir secara lebih positif.

“Jangan banyak fikirkan tentang sakit, kuatkan semangat untuk melawan penyakit itu dan buat rawatan yang sepatutnya.

“Bagi yang Muslim, mintalah dengan Allah kerana Allah maha segalanya dan maha penyembuh segala penyakit kita. Tiada yang mustahil bagiNya,” kata bapa kepada dua orang anak, berumur antara 10 dan 7 tahun itu.

Dicipta sepenuhnya oleh artis kelahiran Kota Kinabalu itu, Tiada Disisiku turut mendapat sentuhan komposer dan penerbit dari Kuala Lumpur, Zainal Zulia untuk susunan muzik.

Menurut Kamal, dia mengenali Zainal selepas dia menyertai ujibakat nyanyian yang dianjurkan oleh laman sesawang sajakiri.com.

“Saya menyertai Pertandingan Sajakiri Vokal anjuaran sajakiri.com pada September 2016 dan beliau (Zainal) adalah pemilik laman web ini.

“Kami masih berhubung sehingga sekarang dan beliau jugalah yang bertanggungjawab untuk penyusunan semula muzik lagu Tiada Disisiku. 

“Inshaa Allah, mungkin saya akan terus bekerjasama dengan sajakiri pada masa akan datang,” katanya.

 

Bersama HighStreet Busker

Namanya mungkin kedengaran agak asing dalam arena seni tempatan, namun Kamal memberitahu, dia sebelum ini lebih aktif sebagai penghibur jalanan atau buskers di sekitar Kota Kinabalu bersama kumpulannya, HighStreet Busker.

“Saya memang minat menyanyi sejak berumur lima tahun lagi dan sejak itu mula mengikuti mana-mana pertandingan nyanyian kecil-kecilan.

“Kemudian pada Julai tahun sama, saya mula aktif dalam aktiviti busking sebagai vokalis HighStreet Busker.

Bagaimanapun, saya sudah lama tidak berapa aktif dalam HighStreet Busker kerana ahli-ahli yang dulu banyak sudah bekerja. 

“Dan masing-masing lebih menumpukan kerjaya masing-masing. Saya juga sekarang bekerja dengan salah sebuah syarikat minyak dan gas di Sulaman,” katanya.

Begitupun, ujar penyanyi berumur 30 tahun itu, itu tidak bermakna Tiada Disisiku adalah produk terakhirnya.

Menurutnya, minat menyanyi akan sentiasa hidup dalam dirinya, malah dia merancang untuk tampil dengan single kedua.

“Menyanyi adalah satu hiburan untuk diri saya dan saya akan tetap terus aktif menyanyi. Yang penting, kita mesti pandai mengatur masa. 

“Saya akan cuba aturkan masa yang terbaik bagi kerjaya saya dan juga menyanyi. Alhamdulillah, buat masa sekarang syarikat saya juga banyak memberikan sokongan untuk saya terus menyanyi.

“Inshaa Allah saya sudah ada perancangan untuk menerbitkan lagu yang kedua malah saya sudah siapkan kerangkanya. Cuma perlukan masa untuk menerbitkannya.

“Inshaa Allah kalau ada rezeki untuk lagu pertama ini mendapat perhatian ramai, mungkin single kedua akan menyusul,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Tiada Disisiku, Kamal mengaku lagu tersebut memerlukan masa untuk meraih lebih banyak perhatian.

“Setakat ini, sambutan masih kurang lagi maklumlah daripada orang yang tidak dikenali. Tapi di YouTube, Alhamdulillah, sambutan saya anggap menggalakkan.

“Memandangkan lagu ini baru juga dimainkan di radio (tempatan) dan dimasukkan dalam Spotify kira-kira seminggu lepas, saya harap orang ramai dapat beri sambutan lebih baik.

“Saya berharap lebih ramai orang kita akan menyukai dan mendengar Tiada Disisiku kerana ini adalah lagu pertama saya dan ia juga adalah luahan hati saya sendiri,” katanya.

Dikeluarkan sejak 23 Julai lalu, Tiada Disisiku boleh didengari menerusi YouTube dan platform digital, Spotify.

Ikuti perkembangan terkini Kamal di Facebook dan YouTube dengan menaip kata kekunci, Kamal Addin.

kazalinah_kamaludin@yahoo.com.my



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular