LATEST NEWS :





Haun diberi nafas baharu: Lydia Kalidin
Published on: Saturday, August 10, 2019
By: Stella Dumin


LYDIA (ketiga dari kanan) bersama pemenang pertandingan The Voice Of Tataba baru-baru ini.
PENYANYI dan penerbit Lydia Kalidin (gambar) kembali dengan Haun yang diberi nafas baharu.

Menurut penyanyi kelahiran Ranau itu, lagu tersebut telah dirakamkan sejak tahun 2016 namun, memilih untuk merakamkannya semula supaya dia lebih ‘berpuas hati’.

“Haun ini merupakan lagu lama saya dan ciptaan saya sendiri, namun saya merakamkannya semula dan membuat mastering sekarang baru saya berpuas hati,” katanya.

Menyingkap kisah disebalik Haun, Lydia berkata, Haun merupakan bahasa Dusun yang bermaksud awan. Ia mengisahkan tentang seorang gadis yang ditinggalkan namun tidak dapat melupakan kekasihnya itu.

“Gadis itu masih menunggu dan tidak ke mana-mana, umpama awam yang sentiasa ada,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Tataba itu, selain Haun, dia juga mempunyai sebuah lagi lagu tema Kaamatan berjudul Sodop Sugandoi.

“Sodop Sugandoi telah dilancarkan pada tahun lalu lagi, kini saya dalam perancangan untuk melancarkan sebuah lagi lagu baharu, jika tiada halangan mungkin akan dilancarkan hujung tahun ini,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan aktiviti seninya, Lydia yang sudah hampir 14 tahun terlibat dalam bidang seni kini merancang untuk berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi di Ranau dan menghasilkan album kompilasi.

“Untuk album kompilasi ini, ia akan memuatkan lagu-lagu penyanyi baharu dan lama, dan proses rakaman juga akan dibuat di Ranau, harap-harap ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

Selain album kompilasi, Lydia juga aktif di belakang tabir antaranya menguruskan pertandingan-pertandingan nyanyian yang dianjurkan di sekitar Ranau.

“Antaranya yang terbaharu ialah The Voice Of Tataba (TVOT), pertandingan nyanyian dengan kerjasama Mindahu Sound System yang bertujuan mempelbagaikan aktiviti seni belia di Ranau.

“Selain itu, ia juga bertujuan mencungkil bakat-bakat baru untuk menyertai pertandingan nyanyian di peringkat yang lebih tinggi, antaranya seperti Sugandoi Kaamatan,” katanya yang juga merupakan penyelaras untuk acara kebajikan di Ranau yang dianjurkan oleh Aliff Sounder & Production.

Diminta mengulas mengenai isu ‘pilih kasih’ yang diutarakan oleh sebahagian peserta dan warga maya terhadap juri dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan di Sabah, Lydia berkata: 

“Itulah cabaran yang dihadapi oleh juri. Bagi saya yang bertugas di tempat sendiri, memang saya rasa geram dan marah apabila dilabel seperti itu, namun peserta harus ingat sebagai juri profesional, kami lebih arif dalam membuat keputusan.

“Saya sendiri hairan, mengapa mereka menganggap juri sebagai ‘pilih kasih’ sedangkan saya sendiri mahu mencari bakat yang berkualiti. Namun itulah adat pertandingan, memang bukan semua akan berpuas hati dengan keputusan juri.

Dalam pada itu, berkongsi rahsianya untuk bertahan dalam arena hiburan tempatan, Lydia berkata disiplin adalah perkara yang paling utama.

“Jangan buat masalah, jalinkan kerjasama baik dengan semua pihak. Kita sebagai pengkarya-pengkarya di Sabah saling memerlukan untuk terus maju dalam bidang seni.

“Selain itu, kita sebagai artis perlu kerap berkongsi aktiviti atau perkembangan seni kita di media sosial supaya peminat tahu perkembangan kita. 

“Saya sendiri juga sebenarnya ‘timbul tengelam’ dalam bidang ini, namun syukur masih diterima,” kata Lydia yang juga pengurus Persatuan Muaythai di Ranau.

Penyanyi Sopirati-rati itu juga meminta mereka yang mula menceburi bidang seni untuk berusah lebih gigih serta rajin memperbaiki diri.

“Tanamkan disiplin dalam diri dan jangan sombong. 

“Dalam bidang seni kita perlu sabar, dan kalau boleh tambah ilmu dalam bidang ini dengan melanjutkan pengajian dalam bidang muzik dan vokal di Institut Pengajian Tinggi (IPT), kerana bakat seiring dengan ilmu hasilnya lebih mantap,” katanya.

Stella Dumin

stella_ardella@yahoo.com



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular