Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Latihan berterusan bagi ketua adat
Published on: Sunday, August 11, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

Latihan berterusan bagi ketua adat
SALAH satu persembahan kebudayaan semasa majlis malam budaya itu.
Kota Kinabalu: Kerajaan akan terus menjalankan program latihan bagi ketua-ketua adat di Sabah.Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata Kementerian telah membariskan beberapa aktiviti pendedahan dan latihan bagi meningkatkan kecekapan ketua-ketua adat dalam melaksanakan tugas mereka di Mahkamah Anak Negeri.

“Kementerian kini dalam proses menstruktur semula dan mengukuhkan tadbir urus hal-ehwal anak negeri, Mahkamah Anak Negeri dan mengemaskinikan Undang-undang Anak Negeri yang perlu dipinda selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP),” katanya apabila merasmikan Malam Budaya Hari Orang Asal Sedunia peringkat Sabah, di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, Jumaat lepas.

“Semua ketua adat di Sabah baru dilantik…untuk memastikan mereka berpengetahuan dan terdedah kepada perkembangan dan kemahiran terkini, Kementerian melatih mereka dengan bantuan kedua-dua pakar diperakui tempatan dan asing.”

Bagaimanapun, beliau mendedahkan bahawa latihan-latihan perlu dijalankan di tempat lain, dan bukan menggunakan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN).

“Kita sudah ada bangunan ILMAN tetapi buat masa ini, ia tidak boleh beroperasi sepenuhnya disebabkan kekurangan peralatan dan kemudahan,” katanya.

UNDRIP, katanya, adalah undang-undang antarabangsa yang melindungi hak-hak orang asal di dunia, dari segi kebudayaan, tanah, sumber asli, gaya hidup dan identiti, antara lainnya.

“Tujuan utama pewujudan Deklarasi ini adalah untuk memastikan bahawa sebarang diskriminasi atau eksploitasi terhadap kira-kira 370 juta penduduk orang asal di dunia dapat dihentikan.

“Ia mengambil masa 25 tahun untuk Deklarasi ini dibentuk, membabitkan perundingan dan pandangan daripada kerajaan, pakar dan orang asal.

“Deklarasi khas ini dirangka untuk mengiktiraf bahawa apabila hak-hak ini tidak dihormati atau dipelihara, maka kedudukan dan kelangsungan hidup orang asal diancam.”

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1994 mengambil keputusan untuk menyambut Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos setiap tahun.

Sambutan ini di Sabah, katanya, memberi peluang kepada masyarakat orang asal untuk menghormati dan menghargai realiti kehidupan dan hak-hak mereka, dari segi sejarah, keusahawanan, sosial, ekonomi, politik, pengetahuan tradisional, kebudayaan, adat, serta kepercayaan, antara lainnya.

“Sambutan dua-hari ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi hak-hak anak negeri di Sabah di samping mengiktiraf keperluan dan aspirasi mereka.

“Ia juga menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan oleh anak negeri di Sabah dalam kemajuan sosio-ekonomi,” katanya.

Jannie juga berharap sambutan itu akan mewujudkan lebih banyak kesedaran dan inspirasi bagi generasi muda untuk belajar lebih banyak mengenai hak dan adat orang asal. Mengenai program malam budaya itu, Jannie senang hati melihat kira-kira 14 persatuan kumpulan etnik membuat persembahan tradisional termasuk tarian, nyanyian, alat muzik dan puisi.

Antara kumpulan etnik yang terbabit adalah Bajau-Sama, Tatana, Rungus, Suang Lotud, Tobilung, Tombonuo, Sandayo, Dumpas, Gobukon, Brunei, Dusun Liwan, Sonsogon, Kadayan and Kadazan.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here