LATEST NEWS :





Empat penumpang cedera bas terbalik di Jalan Apas
Published on: Wednesday, August 14, 2019
By: Lagatah Toyos

TAWAU: Empat penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dari Kota Kinabalu ke Tawau terbalik dalam kemalangan sendiri di Batu 15 Jalan Apas, sekitar jam 5 pagi, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah, ACP Peter Umbuas, berkata mangsa yang cedera terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 30 dan 54 tahun yang mengalami kecederaan kepala, tangan kanan terseliuh dan kecederaan tulang belakang.

“Tiga daripada mangsa terbabit adalah pemegang pasport sementara seorang lagi yang cedera tulang belakang adalah lelaki tempatan, berumur 30 tahun,” katanya sebelum menambah, pemandu bas terbabit, 54, tidak cedera dalam nahas berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan bahawa kemalangan itu berlaku ketika lelaki terbabit memandu bas yang membawa 35 penumpang dari Kota Kinabalu ke Terminal Bas Bandar Sri Indah.

Peter berkata, ketika tiba di Batu 15 dalam keadaan hujan dan jalan berselekoh, bas terbabit gagal dikawal sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan dan dua tiang elektrik.

“Kenderaan itu diseret kira-kira 20 meter sebelum terbalik di tengah pembahagi jalan,” katanya sambil menambah tiga penumpang lelaki dan seorang wanita cedera.

Tambahnya, pemandu tersebut tidak disyaki mabuk sementara ujian air kencingnya juga negatif dadah.

Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sebuah jentera dan sebuah van EMRS dengan tujuh anggota dari Balai Bomba Tawau dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 sekitar jam 5.15 pagi.

Pasukan itu melakukan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke hospital. Operasi ditamatkan pada jam 6.21 pagi.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular