Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Adrino Marunsai luah kerinduan dalam lagu
Published on: Thursday, August 15, 2019
By: Stella Dumin
Text Size:

Adrino Marunsai luah kerinduan dalam lagu
MEMPERTARUHKAN single Langadon sebagai tiket memasuki arena hiburan tempatan, bakat baharu Adrino Marunsai kini mampu menarik nafas lega apabila namanya kian meniti di bibir pendengar.

Memilih single dalam bahasa Rungus sebagai single pertamanya, penyanyi berasal dari Kg Rondomon, Kudat ini mahu mengangkat bahasa Rungus supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Kebanyakan anak muda pada masa ini, ada yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Rungus, oleh itu, biarlah lagu ini menjadi sumbangan kecil saya dalam memartabatkan bahasa Rungus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kisah di sebalik lagu ini, penyanyi berusia 22 tahun itu berkata ia mengisahkan tentang percintaan jarak jauh sepasang kekasih.

“Tajuk lagu ini yang berjudul Langadon bermaksud saya rindu, seorang lelaki yang menahan perasaan rindu dan mahu cepat bertemu dengan kekasihnya yang jauh. Rasa rindu itu diungkapkan dalam lirik dan melodi dalam lagu ini,” katanya.

Lahir dalam keluarga seni, Adrino tidak mahu mendabik dada malah bersyukur dengan bakat yang dikurniakan padanya.

“Saya suda mula menyanyi sejak dari kecil, dan impian untuk memiliki lagu sendiri memang sudah lama namun baru tahun ini terlaksana. Dari segi bakat dalam nyanyian pula, saya yakin bakat yang saya ada ini datang dari keluarga saya sendiri.

“Ramai dalam kalangan ahli keluarga saya yang sudah memiliki album, single, kumpulan muzik, studio muzik dan banyak lagi. Jadi rasanya tidak melampau jika saya katakan darah seni mengalir dalam badan saya,” katanya yang memilih genre Electronic Pop sebagai karya sulungnya. 

Ketika ditebak soalan mengenai cabaran menghasilkan Langadon, Adrino berkata: “Cabaran utama yang saya hadapi dalam menghasilkan lagu ini ialah dari segi peralatan. Lagu ini dirakam di home studio milik Aliex Makiun yang juga penulis dan pencipta lagu ini.

“Saya dan Aliex menggunakan sepenuhnya peralatan yang ada walaupun peralatan untuk recording hanya basic, namun syukur hasilnya tidak mengecewakan.

“Selain itu, kekangan masa juga merupakan cabaran dalam menghasilkan lagu ini, kami masing-masing bekerja, oleh itu proses penulisan lirik, penyusunan muzik, rakaman serta mixing dan mastering memakan masa kira-kira sebulan lebih.

Mengakui masih hijau dalam arena muzik tempatan, Adrino bagaimanapun semakin bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

“Single pertama saya ini boleh dianggap berjaya kerana ia mendapat 1,800 tontonan selepas beberapa jam dimuat naik di YouTube.

“Ramai kawan-kawan dan pendengar yang memberi maklum balas positif terhadap lagu ini, dan ada juga dalam kalangan mereka yang tidak sabar untuk menantikan karya saya seterusnya. 

“Untuk karya pertama, melihat dari segi jumlah tontonan dan maklum balas dari pendengar, saya boleh katakan saya sangat berpuas hati,” kata Adrino kepada Hiburan Ekspres.

Ditanya sama ada mahu menghasilkan karya dalam bahasa lain, Adrino berkata: “Untuk karya pada masa depan, saya memang mahu hasilkan lagu dalam  bahasa Melayu dan Inggeris.

Dalam pada itu, Adrino juga terbuka untuk menjalinkan kolaborasi dengan artis lain.

“Saya tidak memilih siapapun artis itu, yang penting mereka sudi bekerjasama dengan saya, sekaligus boleh meningkatkan pengetahuan saya dalam bidang ini.

“Malah dalam masa terdekat, sekiranya tiada halangan saya dan rakan saya Aliex juga akan menghasilkan single baharu selepas ini, mungkin dalam genre yang sama, kita sama-sama nantikan,” katanya.

Adrino yang kini bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas di Labuan berharap karyanya diterima baik oleh semua pendengar khasnya peminat lagu-lagu Rungus.

“Dan yang paling penting mempromosikan bahasa Rungus melalui karya seni,” katanya.

Adrino juga berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan komposer Langadon Aliex, pendengar kerana menyokong karyanya.

“Terima kasih kepada mereka yang mendengar lagu ini di YouTube, Facebook, mengongsikan lagu ini di laman Facebook mereka, teruskan menyokong karya-karya tempatan,” katanya menutup perbualan.

Langadon kini sudah ditonton sebanyak 3,728 selepas seminggu dimuat naik di YouTube.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here