Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Jokowi usul secara rasmi pindahkan ibu negara ke Kalimantan
Published on: Saturday, August 17, 2019
Text Size:

Jokowi usul secara rasmi pindahkan ibu negara ke Kalimantan
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi mencadangkan kepada parlimen perancangan beliau untuk memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta di pulau Jawa yang padat, ke Kalimantan di Pulau Borneo.

Jokowi, mengusulkan cadangan itu ketika berucap di Parlimen pada Jumaat, sehari sebelum negara itu meraikan ulang tahun hari kemerdekaan ke-74.

“Pada peristiwa bersejarah ini, dengan nama Allah Subhanahu Wa Taala, saya ingin meminta kebenaran dan sokongan daripada ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat, ahli-ahli negara yang dihormati dan rakyat di Indonesia untuk memindahkan ibu kota kita ke Kalimantan,” kata Jokowi yang akan mengangkat sumpah bagi penggal kedua Oktober ini, selepas memenangi pilihan raya April lepas.

Jokowi menambah, ibu kota negara boleh menjadi representasi kemajuan bangsa. Pemindahan ibu kota juga sebagai bentuk meratakan ekonomi.

“Ibu kota yang bukan hanya simbol identiti bangsa tetapi juga representasi kemajuan bangsa. Ini demi terwujudnya pemerataan dan keadilan ekonomi,” ujar Jokowi.

“Ini demi visi Indonesia Maju. Indonesia yang hidup selama-lamanya,” tambah Jokowi yang, bagaimanapun, tidak menyatakan dengan tepat lokasi ibu kota baharu itu.

Awal Ogos, Jokowi berkata lokasi sebenar ibu negara baharu Indonesia itu akan diumumkan selepas semua kajian komprehensif mengenai penempatan semula lengkap dan masalah berkaitan diatasi.

Berhubung isu penempatan semula ibu negara, Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional dan Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas) telah menjalankan kajian dan semakan ke atas beberapa lokasi di Kalimantan.

Julai lepas, Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Bambang Brodjonegoro berkata pembangunan ibu negara baharu itu tidak akan memusnahkah hutan dan tanah gambut yang meliputi kebanyakan kawasan di pulau itu.

“Kawasan itu (yang akan dibangunkan sebagai ibu negara baharu) adalah kosong. Sekali gus ia tidak akan mengganggu hutan,” kata Brodjonegoro.

Berhubung kos pemindahan ibu negara itu, Bappenas menganggarkan ia akan melibatkan hampir Rp466 trilion. Daripada kos penuh Rp466 trilion itu, bajet negara yang diperlukan hanyalah kira-kira Rp30.6 trilion,” kata Bambang pada 15 Jun lepas.

Berdasarkan anggaran Bappenas, Rp30.6 trilion daripada bajet negara akan digunakan untuk membina istana negara dan bangunan strategik tentera / polis sebagai fungsi utama, ruang terbuka hijau sebagai fungsi sokongan dan untuk pemerolehan tanah.

Selain daripada bajet negara, Kerajaan dan skim Kerjasama Entiti Perniagaan bernilai Rp340.6 trilion dan tabung sektor swasta bernilai Rp95 trilion akan melengkapkan jumlah keseluruhan Rp466 trilion yang diperlukan untuk pemindahan ibu negara.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here