Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah cari kepakaran Jerman biak badak
Published on: Sunday, August 18, 2019
By: Bernama
Text Size:

Sabah cari kepakaran Jerman biak badak
KUNDASANG: Sabah sedang mencari pakar dari Jerman bagi membantu program pembiakan badak sumbu dalam kurungan dengan Indonesia, kata Menteri Pelancongan Budaya dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew (gambar).

Beliau berkata ini adalah antara input yang disediakan oleh Penasihat Hidupan Liar kepada Menteri, Datuk Dr John Payne, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dan Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Henry Chan.

“Program pembiakan dalam kurungan adalah untuk mengelakkan kepupusan spesies itu di Sabah, memandangkan badak betina bernama Iman yang disimpan di pusat perlindungan Borneo bagi badak sumbu di Rizab Hidupan Liar Tabin merupakan satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kinotoki and Mokodou Hostel di sini.

Program itu dijangka meliputi kaedah persenyawaan in vitro dengan mengekstrak telur dari Iman dan di disenyawakan dalam makmal khas menggunakan sperma daripada selah seekor badak sumbu jantan dalam kurungan di Indonesia sebelum menanam janin itu ke dalam rahim badak sumbu betina pengganti.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pemuliharaan badak Sumatera di Indonesia bulan depan.

Persetujuan itu tercapai pada mesyuarat antara Christina dan Direktor Jeneral Wiranto dari Direktorat Jeneral Sumber Daya Alam dan Konservasi Ekosistem di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia awal bulan ini. 

Christina berkata kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen untuk memulihara badak Sumatera dan bersetuju bahawa keazaman polititik sangat penting bagi menandatangani MoU itu dengan menerima hakikat bahawa badak sumbu merupakan salah satu spesis paling terancam dunia.

Iman masih merupakan satu-satunya badak Sumatera betina yang masih hidup di Malaysia setelah badak Sumatera jantan yang bernama Tam mati pada 29 Mei tahun ini kerana usia tua serta masalah kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang dan hati.

Iman ditangkap pada 2014 dan sejak itu di tempatkan di pusat perlindungan Borneo bagi badak sumbu di Rizab Hidupan Liar Tabin, bagaimanapun badak betina itu didiagnosis mempunyai cysts dan fibroids dalam rahimnya yang membuatkannya mandul.

Tam, badak yang berusia antara 30 hingga 35 tahun telah ditangkap berhampiran ladang sawit pada 2008 dan ditempatkan di pusat perlindungan di Tabin. Usaha agar Tam mengawan dengan Puntung (badak betina yang ditangkap pada 2011) dan Iman di bawah program dalam kurungan itu tidak berhasil membuntingkan kedua-dua badak betina itu.

Puntung yang berumur 25 tahun dilaporkan mempunyai masalah pembiakan dengan terdapatnya cysts pada lapisan rahimnya. Dia ditamatkan hayatnya pada Jun 2017 setelah menderita kanser kulit. – Bernama

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here