Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Fasa baharu Adrian Edy
Published on: Monday, August 19, 2019
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:

Fasa baharu Adrian Edy
PERJALANAN karier jejaka kelahiran Papar ini sebagai pelakon sebenarnya sudah bermula tiga tahun lepas.Namun, penangan watak ‘Pakcik Bawang’ bernama Kamil dalam drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad membawa Adrian Edy Siaw Chee Hwa, 22, ke satu fasa baharu yang dia sendiri tidak pernah duga.

Watak Kamil, seorang pekerja kafe yang suka ‘membawang’ atau bergosip selain menjadi spy Kak Milah lakonan Nadya Syahera, cukup mencuit hati ramai penonton.

“Penerimaan orang ramai terutamanya penonton terhadap watak Kamil dalam Setelah Terlafaznya Akad sangat tidak disangka-sangka sehinggakan bila di luar pun orang panggil saya Kamil atau Pakcik Bawang. 

“Saya mengaku fenomena yang tercetus dari drama ini membuatkan orang kenal saya. Ketika majlis bertemu peminat baru-baru ini pun, memang tidak sangka mereka mengenali saya.

“Apa yang saya boleh cakap, orang lebih mengenali saya menerusi watak dalam Setelah Terlafaznya Akad berbanding lakonan saya sebelum ini,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

 

Ulang alik KK – KL

Di sebalik perkembangan indah itu, Adrian sebenarnya perlu berulang alik antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur untuk menjayakan penggambaran naskhah arahan Michael Ang terbabit.

“Saya masih lagi tinggal di Papar kerana saya bekerja membantu keluarga di kampung, hanya apabila mendapat tawaran berlakon barulah saya akan ke Kuala Lumpur.

“Kalau nak kata susah memang susah, iyalah belanja tiket dan tempat tinggal ditanggung sendiri bukannya syarikat produksi. Namun, pihak produksi memahami keadaan saya. 

“Penggambaran penuh sebenarnya mengambil masa lima bulan tetapi untuk watak saya, mereka buat sekaligus untuk dua minggu sebab tidak mahu susahkan saya, lagipun kafe itu juga disewa.

“Sebenarnya, saya tidak berapa kisah pasal pembayaran, yang penting sekarang orang sudah kenal saya. Pendedahan dan pengalaman itu yang saya rasa sudah mahu cari,” katanya.

Tambah Adrian, yang juga seorang penghasil kandungan (content creator), dia juga pernah beberapa kali dimarahi pengarah prolifik, Michael Ang sepanjang sesi penggambaran.

“Tetapi, bukanlah bermaksud saya berkecil hati, bagi saya ini adalah salah satu daripada proses belajar. Semua ini adalah asam garam terutamanya untuk pelakon baharu macam saya.

“Sebelum ini ada lagi yang paling menyedihkan, apabila ada pengarah yang beri tawaran macam-macam kepada saya, tetapi akhirnya pulangannya cuma saya dibagi job lain.

“Pernah juga orang cakap belakang pasal kita terutamanya bila pengarah dan ada orang dalam syarikat produksi tidak suka kita. Ini semua antara cabaran saya hadapi sebagai seorang anak seni. Tapi, tidaklah sampai ada hasrat untuk berhenti berlakon,” katanya.

Sedar masih banyak perlu diperbaiki dari segi lakonan, model sambilan itu berkata, dia merancang untuk mengambil kelas lakonan formal dalam masa terdekat.

“Walaupun sekarang watak Kamil membuatkan ramai yang kenal, tapi ada juga sedikit komen pasal lakonan, ada lagi yang perlu saya perbaiki. Saya akui perkara ini dan saya terimanya dengan positif. 

“Saya belum pernah mengikuti mana-mana kelas lakonan. Buat masa sekarang, saya banyak buat homework dengan menonton pelbagai drama dan filem sebagai rujukan,” katanya.

 

Dambakan watak aksi

Walaupun namanya kian meniti di bibir peminat, Adrian enggan menaruh harapan tinggi bahawa dirinya akan menjadi pilihan pengarah serta produser drama dan filem tempatan selepas ini.

“Kalau hendak diharapkan lakonan saya dalam drama ini, mungkin saya belum dapat berharap lagi sebab watak Kamil sangat dekat dengan diri saya sendiri, yang memang diri saya.

“Jadi, watak Kamil tidak berapa mencabar kewibawaan saya sebagai seorang pelakon. Saya mengimpikan untuk memegang watak yang melibatkan aksi macam dalam filem Paskal dan watak seorang lelaki romantik,” katanya.

Ditanya apakah dia sudah bersedia menjadi tonggak utama dalam sesebuah drama atau filem, Adrian berkata, dia masih baru dan masih banyak ilmu yang perlu ditimba untuk menjadi pelakon yang baik. 

“Tipulah kalau saya tiada hasrat menjadi pelakon utama, memang ini impian dalam diri setiap pelakon baru seperti saya. Tapi, saya sedar saingan itu banyak dan banyak lagi yang perlu saya perbaiki contohnya masuk kelas lakonan.

“Hasrat untuk berlakon dalam filem juga memang ada. Tapi, filem berbeza dengan drama dan waktu penggambaran lagi panjang, risau tidak bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Saya pernah berlakon dalam filem Indonesia pada 2017 iaitu Jangkrik Boss! dan filem itu pecah panggung di negara itu. “Walaupun watak saya pegang kecil, saya harap peluang lebih besar akan terbuka untuk saya berlakon dalam naskah filem kelak,” katanya, sambil menambah, andai diberi peluang dia ingin bekerja lagi dengan Michael Ang, dan mahu berlakon di bawah arahan Osman Ali, Raja Ahmad Alauddin dan Amor Rizan.

 

Pernah viral

Sebelum terjun ke dunia lakonan, anak kedua daripada empat beradik ini terlebih dahulu aktif dengan paparan video pendek dalam media sosial. 

Jejaka ini pernah tular di media sosial pada 2016, menerusi video parodinya yang diinspirasikan daripada drama bersiri popular Abang Bomba I Love You.

Tuah tular, Adrian kemudian mendapat perhatian pengarah untuk berlakon dalam drama Gaduh-Gaduh Sayang.

“Pada awalnya, saya berlakon cuma suka-suka dan bermula sebagai pelakon tambahan sahaja. 

“Sebelum ini orang lebih mengenali saya sebagai content creator dan pembikin video di media sosial, kalau boleh selepas ini saya harap lebih ramai akan mengenali saya sebagai pelakon sebab itulah minat saya.

“Bagi saya, Dubsmash dan Tiktok cuma platform untuk lebih dikenali dan saya cuma buat suka-suka untuk mendapatkan pengikut di media sosial. Begitu juga dalam bola sepak dan sebagai modal, sekadar sampingan sahaja,” katanya.

Jejaka berdarah Cina ini juga jaguh di padang dan bermain untuk Kelab Bola Sepak PSC. Pada 2012, dia pernah bermain untuk skuad Sabah Bawah-17, Pra Skuad AFC Malaysia Bawah-17 dan skuad Bawah-19 Malaysia ketika menentang Bawah-18 Chelsea.

Beralih cerita tentang perkembangan terbarunya, Adrian memberitahu, dia dalam perancangan untuk menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan di Kuala Lumpur.

“Namun, ketika ini ia masih di peringkat awal. Dari segi tawaran berlakon belum ada lagi setakat ini. Memandangkan saya di Papar, kalau ada tawaran di saat-saat akhir memang saya terpaksa tolak,” katanya.

 

[email protected] 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here