Tradisi ‘mangasok parai tidong’ terus dikekalkan
Published on: Wednesday, August 21, 2019
By: R Gonzales
AKTIVITI ‘mangasok parai tidong’ atau menanam padi bukit pada zaman serba moden ini masih memerlukan kerjasama atau semangat gotong-royong antara penduduk bagi mengusahakannya tanpa menggunakan jentera teknologi.
Ia disebabkan oleh faktor geografi apabila lokasi penanaman benih padi berbentuk cerun bukit menyukarkan penduduk menggunakan jentera teknologi dibandingkan di kawasan batas rata seperti padi sawah. Tinjauan wartawan di Kampung Raganan, Kiulu di daerah Tuaran, padi bukit yang lebih dikenali ‘parai tidong’ dalam kalangan masyarakat Dusun hampir selesai diusahakan selepas mengerjakan tanaman padi sawah pada bulan lepas.
ADVERTISEMENT
Menurut penduduknya, Bounah Banggang, 47, tanaman parai tidong secara bergotong-royong sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka dan ia hanya mengambil masa tiga hari berlainan iaitu ketika mongurak (membersihkan), mangasok (menanam menggunakan kayu mencucuk lubang) dan mongomot (menuai).
“Awal bulan lalu, kami bergotong-royong membersihkannya. Ia bermula dari memotong pokok-pokok kecil dan besar sebelum menunggu masa ia kering lalu dibakar bagi membersihkannya atau supaya tanahnya subur.
“Peringkat kedua pula, kami bergotong-royong mangasok dan monumpos (memasukkan benih padi dalam lubang) dan sebaik ia tumbuh sebelum dijangka musim menuai pada hujung tahun atau awal tahun hadapan, kami sekali lagi akan bergotong-royong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Bounah berkata, aktiviti gotong-royong itu dijalankan dari golongan petani ke petani lain di sesebuah kampung dan hanya mengambil masa setengah hari setiap peringkat.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang juga pesara guru, Alan Bondulu, 62, berkata, keadaan cerun bukit yang curam itu menyebabkan sukar untuk jentera digunakan namun jika ia boleh digunakan sekalipun, ia bukanlah menjadi keutamaan penduduk kerana semangat gotong-royong itu sudah lama diamalkan dan menjadi tradisi di kampung itu.
ADVERTISEMENT
“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja diamalkan di kampung ini, malah ramai yang masih mengamalkannya di daerah lain khususnya masyarakat Dusun di negeri ini.
“Dengan mengamalkan sikap gotong-royong, kerja mengusahkan parai tidong menjadi lebih mudah dan cepat selain hubungan persaudaraan akrab sampai bila-bila,” katanya.
ADVERTISEMENT
Menurut Alan yang juga Ketua Kampung Raganan, Kiulu, pada zaman ini generasi muda masih turut membantu mengamalkan aktiviti ‘mangasok’ namun tidak dinafikan ianya mungkin bakal berakhir suatu hari nanti.
“Ketika ini, hanya individu di bawah 1980an sahaja yang masih ramai mengamalkannya dan generasi muda terlalu kurang pada masa ini untuk membantu kerana sibuk bekerja di kawasan bandar.
“Maka, tidak hairanlah jika suatu hari nanti tradisi mangasok ini berkurang atau hilang ditelan zaman jika tidak ada yang mewarisinya kerana perubahan gaya hidup,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Lominus Bulahai, 58, berharap tradisin bergotong-royong ‘Mangsaok’ itu tidak hilang ditelan arus zaman walaupun berlaku perubahan gaya hidup.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Andai kata suatu hari nanti tidak ada lagi penanaman padi di kawasan bukit, saya harap anak muda mewarisi sikap gotong-royong antara penduduk kampung dalam mengerjakan apa jua aktiviti demi hubungan persaudaraan.
“Kami selaku ibu bapa dan mungkin generasi selepas kami semakin berkurang mengerjakan kerja kampung namun kami memahami keperluan anak-anak dan mereka juga sebenarnya tidak lupa kepada keluarga di kampung walaupun bekerja di perantauan mengikut perkembangan arus moden kini,” jelasnya.