Usahawan Sabah digalak daftar sijil halal
Published on: Wednesday, August 21, 2019
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggalakkan kira-kira 55,000 usahawan di negeri ini mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan perusahaan mereka berkembang lebih pesat sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri Azhar Matussin berkata sejumlah 8,120 syarikat mempunyai pensijilan halal Jakim di seluruh negara pada tahun lepas, dan daripada jumlah itu hanya 204 syarikat dari Sabah memiliki sijil berkenaan.
ADVERTISEMENT
“Sabah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan daripada sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan syarikat Sabah yang mempunyai pensijilan halal bertambah pada tahun ini seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri),” katanya berucap merasmikan Program Halal Malaysia 2019-Sabah di sini, Selasa.
Program tiga hari mulai Isnin lepas anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada usahawan tempatan Sabah mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal yang semakin berkembang.
Ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran dan penyertaan perniagaan halal selain platform memberi maklumat terkini berkenaan industri halal termasuk produk perbankan Islam dan pembiayaan, pematuhan berkaitan pensijilan halal, pembangunan dan kesesuaian piawaian halal.
Azhar berkata sektor pelancongan mesra Muslim dan sektor produk pertanian berasaskan kelapa sawit merupakan antara fokus agenda pembangunan halal yang dilihat mampu memberi pulangan ekonomi kepada Sabah.
ADVERTISEMENT
Katanya kerajaan negeri komited menyediakan platform meningkatkan sosio-ekonomi Sabah sekali gus melahirkan bakat baharu industri halal yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Program Halal Malaysia ini diharap akan mencapai matlamat mewujudkan persekitaran industri halal inklusif. Saya juga berharap usahawan Sabah mendaftarkan diri dalam latihan industri halal komprehensif sepanjang program itu bagi meningkatkan produktiviti, melengkapkan syarikat dengan pematuhan sijil halal diiktiraf kerajaan bagi menembusi pasaran global,” katanya. – Bernama
ADVERTISEMENT