Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Seiring kehendak Sabah: Shafie
Published on: Wednesday, August 21, 2019
By: Anthea Peter
Text Size:

Seiring kehendak Sabah: Shafie
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ada isu-isu tertentu yang masih belum diperhalusi.

“Sesetengah isu masih dibincangkan secara mendalam, seperti 40 peratus hasil bersih yang harus diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah serta royalti minyak yang telah dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk,” katanya selepas majlis pelancaran buku ke-15 nukilan isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib berjudul ‘Curry Leaves’ di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Buku itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

“Bukan semua perkara boleh diselesaikan dalam masa singkat, kerana ia membabitkan banyak faktor, contohnya hasil 40 peratus perlu diteliti secara mendalam kerana kita tidak mempunyai semua statistik dan kita perlu menelitinya dari pelbagai aspek,” katanya.

Shafie berkata antara isu yang dipersetujui bersama dalam kabinet Persekutuan adalah isu pertanian dan perhutanan, pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan serta kuasa-kuasa kawal selia tenaga elektrik dan gas di mana masih ada isu-isu teknikal perlu diselesaikan.

“Saya telah lantik sebuah syarikat untuk melaksanakan ‘Due Diligence’ untuk memperhalusi isu-isu itu (gas dan elektrik) dan bagaimana kita boleh menyelesaikannya.

“Kita memerlukan sebuah platform di peringkat Negeri yang akan membolehkan kita memperhalusi isu-isu ini.

“Mereka telah bersetuju untuk menyerahkannya, hanya kerajaan negeri (yang masih ada isu) kerana kami perlu meneliti subsidi iaitu sekitar RM1 bilion,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan negeri tidak dapat menanggung hutang yang ditanggung oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Meskipun wujud keperluan untuk penelitian, secara keseluruhan Shafie yakin suara rakyat sedang didengar dan kemajuan sedang berlaku.

“Apa yang sedang dilaksanakan oleh Dr Mahathir adalah sesuatu yang memang kita mahukan selama ini dari segi hak-hak Sabah.

Menurutnya sebelum ini tiada apa mengenai hak-hak Sabah dapat direalisasikan tetapi hari ini terbukti kemajuan telah dibuat.

“Kita harus melangkah ke hadapan mengikut arah ini untuk merealisasikan apa yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.

Sementara itu, Shafie menjelaskan bahawa slogan “Sabah untuk Sabahan’ tidak bermaksud bukan rakyat Sabah tidak boleh masuk ke negeri ini.

Sebaliknya, kata Shafie, ia berkaitan dengan warga Sabah yang sedar akan perjuangan untuk mendapatkan hak-hak mereka, yang juga terikat dengan keinginan mereka terhadap MA63 dan tidak bermaksud bahawa ia adalah parokial dalam apa cara sekalipun.

“Negara ini adalah milik kita semua. Saya tidak fikir ianya sesuai untuk kita membangkitkan isu yang boleh memecahbelahkan. Kita juga mesti membincangkan isu yang boleh menyatukan rakyat secara keseluruhan,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here