Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Kemalangan jalan punca kematian utama belia
Published on: Thursday, August 22, 2019
By: Ottey Peter
Text Size:

Kemalangan jalan punca kematian utama belia
KOTA KINABALU: Kemalangan jalan raya masih merupakan punca kematian utama dalam kalangan golongan muda khususnya penunggang motosikal dan pejalan kaki.

Menurut sumber daripada Perkeso Malaysia, daripada 72,631 kemalangan jalan raya membabitkan pekerja, 76.9 peratus adalah pengguna motosikal dan 65 peratus berumur bawah 40 tahun.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata 80 peratus daripada kemalangan jalan raya di negara ini disebabkan oleh kelakuan pengguna jalan.

Beliau berkata Kota Kinabalu adalah antara bandar dengan statistik kemalangan jalan raya tertinggi di Sabah dengan 6,025 daripada 18,001 kemalangan dilaporkan tahun lepas.

“Kebanyakan kemalangan membabitkan kematian dan kecederaan parah tidak berlaku di jalan rosak, tetapi di jalan lurus dan tidak berbahaya. Ia kerana secara rasionalnya, pengguna jalan cenderung lebih laju dan cuai ketika di jalan yang selesa.

“Bagaimanapun, kebanyakan jalan di Sabah bukanlah jalan paling baik, tetapi saya difahamkan bahawa sesetengah faktor yang meningkatkan statistik kemalangan pada 2018 kepada 18,001 berbanding 17,724 pada 2017, adalah disebabkan kerja penaiktarafan dan penyelenggaraan selain faktor tanah kita sendiri,” kata Tangau pada Program Capaian Sekolah Keselamatan Jalan Raya Petron di SMK Pekan Telipok di sini, Rabu.

Ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Politik Kementeriannya, Joisin Romut.

Seramai 1,000 pelajar mengambil bahagian dalam program itu yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dalam mengenal pasti titik-titik buta dalam kenderaan besar dan mengguna pakai kelakuan keselamatan jalan yang baik, dengan menekankan bahawa semua kemalangan jalan raya boleh dicegah dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Hadir sama, wakil-wakil daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom.

Sementara itu, Tangau menggesa agensi-agensi berkaitan untuk terus bekerjasama dengan agensi lain, sekolah dan komuniti dalam menggalakkan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata program seperti itu akan memanfaatkan pelajar dan sesiapa saja dalam jangka masa panjang.

Beliau turut menegaskan isu keselamatan jalan raya tidak harus diambil ringan kerana ia sering membabitkan kerugian dan kesan negatif.

“Kesedaran keselamatan jalan raya memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan kelakuan golongan muda untuk memastikan mereka akan menjadi pengguna jalan yang bertanggungjawab.

“Ia adalah usaha kolektif dan tanggungjawab semua,” tambahnya.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here