Sabah lancar sistem tukar barang minggu depan
Published on: Sunday, August 25, 2019
By: Jo Ann Mool
KOTA KINABALU: Minyak masak akan dimasukkan dalam jadual perniagaan tukar barang sebagai salah satu cara untuk mengekang penyeludupan produk minyak sawit bersubsidi yang sepatutnya hanya untuk orang tempatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menjangka akan melancarkan sistem perniagaan tukar barang bagi minyak masak dengan Indonesia dan Filipina minggu depan.
ADVERTISEMENT
“Kita sedar banyak minyak masak bersubsidi kita diseludup keluar. Minyak masak bersubsidi ini sepatutnya hanya untuk pengguna tempatan jadi kita perlu mengasingkan (produk bersubsidi dan bukan bersubsidi).
“Mungkin minggu depan saya akan melancarkannya di Kota Kinabalu agar ahli perniagaan dari Indonesia dan Filipina akan faham dan tahu di mana untuk mendapatkan produk bukan bersubsidi ini,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan pembukaan Karnival Usahawan Desa (KUD@KPLB) di Kompleks Sukan Likas, di sini, Sabtu.
Beliau berkata kerajaan mahu penyeludupan produk bersubsidi yang turut termasuk tong gas, dihentikan.
Menghurai lanjut, Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata agensi-agensi yang diamanahkan untuk mengendalikan perkara itu adalah Sawit Kinabalu dan Benta Wawasan Sdn Bhd.
ADVERTISEMENT
Menurutnya, Sawit Kinabalu akan diberi tanggungjawab untuk menyediakan bekalan minyak masak untuk perniagaan tukar barang, sementara Benta Wawasan akan mengeluarkan minyak masak bersubsidi dikenali sebagai BESS untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata langkah itu juga adalah sebahagian persediaan menghadapi rancangan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan, yang dijangka memberi impak besar pada pembangunan ekonomi di rantau ini.
ADVERTISEMENT
Mungkin, Indonesia sendiri juga melakukan perkara sama tetapi Sabah perlu bersedia dalam pelbagai bidang bagi menghadapi perubahan iklim pentadbiran negara jiran itu.
“Kita perlu melihatnya secara holistik dan bukan hanya dalam konteks keusahawanan dan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata pengusaha pasaraya besar di negeri ini digalakkan untuk menjual produk tempatan berkualiti bagi membantu usahawan khususnya usahawan desa untuk membantu sosio-ekonomi mereka.
“Saya ingat apabila saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum ini, saya menggalakkan Carrefour, Tesco, Giant dan seumpamanya untuk memberi ruangan bagi produk tempatan di premis mereka bukan saja di negara ini tetapi juga di cawangan-cawangan mereka di seluruh dunia,” katanya.
Beliau gembira melihat bahawa kadangkala produk tempatan termasuk produk tenusu dari Keningau dijual di pasaraya besar.
“Kadang-kadang saya pergi ke pasaraya besar untuk membeli susu lembu dari Keningau tetapi mendapati ia sudah habis terjual, namun itulah yang kita galakkan,” katanya.
Ketua Menteri juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada setiap langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan untuk membantu usahawan luar bandar.
“Kami akan berusaha sedaya upaya kami untuk menyokong apa pun inisiatif daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan kepada Sabah untuk kepentingan rakyat,” katanya, menambah ia termasuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan tempatan.
Sedar akan sumbangan penting sektor usahawan kepada pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Sabah juga akan membantu menyediakan kemudahan-kemudahan bagi usahawan tempatan di kawasan luar bandar untuk memperluaskan perniagaan mereka.
Selain menyediakan kemudahan, kerajaan juga akan membantu dari segi kewangan dan rangkaian, katanya.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Dalam pada itu, Mohd Shafie memuji Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan Datuk Rina Mohd Harun kerana menganjurkan karnival selama tiga hari itu yang menyaksikan 350 gerai didirikan yang mempamerkan pelbagai produk tempatan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, Sivarasa Rasiah, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick, serta Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.