HEADLINES :





Terumbu karang rosak akibat kapal terkandas
Published on: Wednesday, September 11, 2019
By: Patimang Abdul Ghani

KUDAT: Pemain industri pelancongan di sini berharap pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan memulihkan terumbu karang berhampiran perairan Kudat yang rosak disebabkan insiden kapal kargo terkandas, Ahad lepas.

Pengasas Bluefin Surf and Dive, Ivan Tan yang memeriksa lokasi kejadian bersama beberapa penyelam berkata insiden itu telah mewujudkan satu terusan baharu.

“Bagaimanapun, saya rasa laman menyelam dikenali sebagai ‘Nemo Point’ tidak terjejas.

“Tapi kejadian itu menyebabkan kerosakan pada terumbu karang di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Sekitar jam 9 pagi Ahad lepas, Tan yang ketika itu membawa beberapa pelancong untuk aktiviti snorkeling terkejut melihat kapal tersebut berada di kawasan perairan cetek.

Menurut Tan, insiden seumpama itu pernah berlaku sekitar tahun 70-an atau 80-an, namun kejadian kali ini lebih teruk kerana boleh memberi kesan buruk terhadap terumbu karang dan penyu.

“Kami berharap kerja-kerja pemulihan boleh dilakukan di kawasan yang terjejas kerana terumbu karang ini mengambil masa antara 5 hingga 10 tahun untuk berkembang,” katanya.

Pulau itu adalah sebahagian daripada Taman Tun Mustapha seluas 898,762.76 hektar yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti unik yang menjadi  satu siri habitat kompleks dan berkait.

Taman tersebut juga menempatkan spesis terancam seperti penyu Agar (Green Turtle) dan Dugong.

Pengerusi Persatuan Pemuliharaan Penyu Kudat, Sofia Johari berkata, berdasarkan kajian Universiti Malaysia Sabah, kawasan yang terjejas merupakan kawasan penting dalam usaha melindungi penyu Agar dan Penyu Karah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Superitendan Mohd Firdaus Francis Abdullah dalam kenyataan pada Isnin berkata, kapten kapal bersama 14 anak kapal dalam perjalanan ke Kemaman selepas selesai menurunkan muatan di Sandakan.

Katanya, sekitar tengah malam pada Jumaat, kapten kapal serah tugas kepada pembantunya untuk mengemudi kapal ke destinasi seterusnya.

“Ketika kapten kapal sedang berehat di kabin kapal, dia tersedar kerana merasakan gegaran yang dialami oleh kapal itu, lalu kapten bergegas menuju ke tempat pengemudian dan mendapati kapal sudah melanggar kawasan cetek di Perairan Kalampunian.

“Kapal itu telah terkandas pada Sabtu kira kira jam 3 petang kerana tersalah laluan dan kapten kapal menghubungi pihak pengurusan kapal untuk membantu,” katanya.

Hasil pemeriksaan, kapten dan 14 anak kapal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala semua kelengkapan kapal memenuhi Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO).



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular