HEADLINES :





Masa untuk perkenal IC Sabah: PKR Sabah
Published on: Wednesday, September 11, 2019
By: Leonard Alaza

KOTA KINABALU: Di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai keputusan kerajaan untuk mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi mengurus dengan lebih baik rakyat asing yang tinggal di negeri ini, Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua (gambar), mencadangkan masanya juga telah tiba untuk IC Sabah diperkenalkan kepada rakyat Sabah tulen.

Menurutnya, pengeluaran PSS dan IC Sabah masing-masing kepada rakyat asing dan rakyat Sabah tulen, akan meletakkan jutaan orang di Sabah di tempat yang sepatutnya.

“Ia sesuatu yang baik apabila kerajaan mahu menguruskan dengan lebih baik rakyat asing di Sabah melalui pengeluaran PSS. Seperti yang Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin katakan, langkah itu akan memastikan penguatkuasaan lebih berkesan disebabkan ketersediaan data pendatang asing berpusat dan piawai.

“Bagaimanapun, kita juga perlu menghitung dan memprofail orang kita sendiri. Kita boleh melakukannya dengan memperkenalkan IC Sabah hanya kepada penduduk tempatan tulen,” katanya.

Chua, yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah, menekankan bahawa pengeluaran IC Sabah bukan bertujuan untuk mengasingkan rakyat Sabah dengan penduduk lain dalam negara ini.

Sebaliknya, kata Chua, dokumen itu akan memprofail siapa rakyat Sabah tulen sama seperti rakyat asing yang tinggal di Sabah dengan PSS.

Muhyiddin berkata minggu lepas bahawa kerajaan mengambil maklum mengenai pelbagai dokumen dan pas yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri untuk rakyat asing di Sabah.

Beliau merujuk kepada dokumen seperti IMM13, Burung-Burung dan sijil Banci yang dipegang oleh pendatang asing yang katanya merumitkan penguatkuasaan, khususnya mengenai rekod kehadiran mereka di Sabah.

Katanya, PSS akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen bermula 1 Jun tahun depan. Ia akan mempunyai biometrik, cap jari dan gambar profail.

Mengenai keselamatan data, Chua juga mencadangkan kerajaan meneroka penggunaan teknologi seperti Blockchain untuk memastikan data tidak boleh diganggu atau dimanipulasi.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular