Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Keadaan jerebu bertambah buruk
Published on: Sunday, September 15, 2019
By: Ibrahim Tabir
Text Size:

 Keadaan jerebu bertambah buruk
KUNAK: Tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat akibat jerebu di daerah ini pada Sabtu. Ruang atmosfera diliputi jerebu tebal pada sebelah pagi dan semakin bertambah menjelang waktu tengah hari. 

Difahamkan tahap IPU di Kunak mencecah bacaan lebih 100, sementara daerah jiran Tawau merekodkan bacaan 126 setakat jam 11.30 pagi dan dikategori sebagai “tahap tidak sihat” mengikut bacaan indeks APIM (Air Pollutant Index of Malaysia) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Tinjauan Harian Ekspres mendapati, Pulau Timbun Mata yang biasa dapat dilihat dari Pelabuhan Kunak sudah “hilang” daripada penglihatan akibat ditutup jerebu tebal.

Begitu juga kawasan tanah tinggi Mostyn dan Gua Madai yang sebelum ini boleh dilihat dalam jarak jauh dari Kilometer 3 Jalan Kunak Spur juga “hilang dari pandangan” sejak awal pagi Sabtu. 

Sementara itu, kedai farmasi di pekan Kunak turut menjadi tumpuan sebilangan orang yang mahu mendapatkan topeng muka. 

Di TAWAU, kualiti udara yang rendah akibat fenomena jerebu di sini, dibuktikan apabila Pulau Sebatik yang kebiasaannya jelas kelihatan dari tanah besar di Tawau pada Sabtu terlindung dan tidak kelihatan.

Pemerhatian Bernama dari sekitar Pesisiran Traulsen atau dikenali sebagai Highway Tawau juga mendapati bot-bot nelayan yang berlabuh kira-kira tiga ratus meter dari pesisiran juga tidak dapat dilihat dengan jelas.

Jarak penglihatan pada sebelah tengah hari ini didapati lebih terhad berbanding pada pagi tadi akibat jerebu yang semakin menebal.

Orang ramai bagaimanapun didapati masih kurang menggunakan topeng muka ketika berada di taman rekreasi di Pesisiran Traulsen.

Di SANDAKAN, kualiti udara di Sandakan semakin merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat ke paras tidak sihat pada pukul 5 petang berbanding 4 petang Sabtu.

Pemerhatian Bernama mendapati kebanyakan kawasan tanah tinggi dan pulau berhampiran pusat bandar Sandakan semakin terlindung di sebalik jerebu yang semakin tebal.

Sementara itu, hanya segelintir masyarakat yang peka terhadap kesan kesihatan disebabkan jerebu memakai penutup hidung dan mulut.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sandakan mencatatkan bacaan IPU 101 setakat pukul 5 petang berbanding 98 iaitu tahap sederhana pada 4 petang Sabtu.

Bagaimanapun, Tawau masih mencatatkan bacaan tertinggi di seluruh negeri dengan bacaan IPU 139.

Kualiti udara di kawasan lain masih di paras sederhana walaupun bacaan IPU menunjukkan peningkatan iaitu Politeknik Kota Kinabalu dengan bacaan IPU 82, Kimanis (65), Keningau (73), Kota Kinabalu (66) dan Labuan (74).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here