Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Sekolah di Sabah terjejas jerebu akan ditutup
Published on: Monday, September 16, 2019
Text Size:

Sekolah di Sabah terjejas jerebu akan ditutup
KEADAAN jerebu di pinggir Ibu Negeri pada petang Ahad. (Gambar kecil) Jerebu turut menjejaskan pendapatan peniaga di Tamu Ahad Sabindo. – Jimmy Goh/FotoBERNAMA
Kota Kinabalu: Sekolah yang berada di daerah terjejas akibat jerebu di Sabah akan ditutup sekiranya keadaan semakin teruk, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata pihaknya buat masa ini masih belum mendapat maklumat berhubung penutupan mana-mana sekolah di daerah dilanda jerebu, namun, sesi persekolahan akan ditangguhkan sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

“Kita (kementerian) juga sentiasa memantau keadaan jerebu ketika ini dan jika ada keperluan untuk menutup (sesi persekolahan)  kita akan beritahu. Setiap pengurusan sekolah juga saya rasa tahu apa yang mereka perlu lakukan dan mereka sentiasa bersedia dengan keadaan seperti ini.

“Saya fikir selagi pengurusan sekolah melihat keadaan masih terkawal maka sesi persekolahan akan diteruskan, namun, apabila keadaan semakin teruk mereka tahu apa yang perlu dilakukan kerana kesihatan dan keselamatan murid adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Kali Keempat bagi Zon Sabah dan Labuan sekali gus menyerahkan diploma kepada 1,152 graduan yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

Dalam pada itu, Yusof turut menasihatkan guru-guru supaya mengurangkan aktiviti luar melibatkan para pelajar buat masa ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan mereka selain turut menyarankan penggunaan topeng muka untuk perlindungan daripada kesan jerebu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di Tawau mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan catatan IPU 117, setakat jam 2 petang Ahad.

Kualiti udara di Sandakan merekodkan bacaan IPU 97, diikuti Kimanis (86), Politeknik Kota Kinabalu (84), Keningau (83) dan Kota Kinabalu (77), manakala pulau bebas cukai Labuan (93).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui tahap IPU terkini pada setiap jam. Sementara itu di TAWAU, peniaga di Tamu Ahad Sabindo (TAS), di sini melahirkan kerisauan dengan keadaan jerebu di kawasan itu dan berharap fenomena itu segera berakhir.

Seorang peniaga buah-buahan dan sayur-sayuran yang mahu dikenali sebagai Rakmah, 44, berkata keadaan jerebu menyebabkan pengunjung tamu hujung minggu itu semakin berkurangan. “Pengunjung pun kurang, secara tidak langsung pendapatan pun kurang bukan untuk saya saja tetapi juga peniaga lain,” katanya ketika ditemui Bernama, pada Ahad.

Seorang peniaga makanan yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul Nassir, 50, turut berharap keadaan jerebu itu segera pulih memandangkan ia bukan sahaja mengganggu kesihatan tetapi turut menjejaskan jualan.

“Sejak tamu ini pindah (sebelum di Jalan Takada), ke Sabindo, setiap Ahad dari pagi sampai petang pengunjung penuh, tapi hari ini kedatangan pengunjung hambar, mungkin cuaca buruk, orang ramai tidak keluar rumah,” katanya.

TAS yang beroperasi pada setiap Ahad menempatkan lebih 700 gerai jualan yang menjadi tarikan di bandar Tawau.

Portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tawau setakat 4 petang Ahad   meningkat kepada 123 berbanding 105 pada 10 pagi, hari yang sama.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here