Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Pesara polis kanan  lancar buku memoir
Published on: Tuesday, September 17, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

Pesara polis kanan  lancar buku memoir
JAIKUL (kiri) memegang bukunya, dengan Shanmugam.
Kota Kinabalu: Seorang pesara pegawai polis dari Kampung Nambayan di Tambunan menandakan Hari Malaysia dengan melancarkan bukunya - Chancing The Rapids “My Way” – menyingkap sejarah, keselamatan dan kebudayaan Sabah, di sini, Isnin.

Dalam apa yang beliau gambarkan sebagai “gambar” peristiwa utama hidupnya yang berjalin dengan detik-detik bersejarah Sabah, Datuk Clement Jaikul, yang menjadi pegawai bangsa Dusun pertama mencapai pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC), memberi buah fikirannya mengenai peristiwa bersejarah daripada pembentukan Malaysia dan konfrontasi Indonesia, kepada cerita melawan lanun serta peristiwa perkahwinan dan kebudayaan. Bukunya menceritakan kisahnya sebagai seorang remaja berumur 18 tahun yang menyertai Pasukan Polis Borneo Utara pada 9 September 1958 sebagai konstabel untuk naik ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis  apabila dia bersara 37 tahun kemudian pada 8 Julai 1996.

“Cerita saya mengisahkan keadaan baik buruk, kekecewaan, kehormatan dan kebanggaan menjadi anggota polis sebagai profesion,” kata Jaikul, 78, apabila beliau memperkenalkan autobiografinya kepada wartawan.

“Saya mengambil gambar peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan saya. Banyak daripadanya ada kaitan dengan sejarah Sabah khususnya pada awal pembentukan Malaysia dan konfrontasi,” katanya, menambah kebanyakan maklumat itu datang daripada diari polisnya. Beliau juga menulis mengenai “perkara kecil” seperti menghampiri seekor badak sumbu, ditembak penceroboh di Sabah.

Jaikul mengenang dalam bukunya bagaimana beliau memperkenalkan warga Perancis Jacques Cousteau untuk menimbang Pulau Sipadan sebagai lokasi perfileman bawah air pada 1984. Pulau Sipadan menjadi terkenal sebagai salah satu lokasi menyelam utama di dunia.

Dalam bukunya, Jaikul menceritakan bagaimana anggota-anggota lebih kanan membantunya berkembang di samping mereka yang tidak senang atau mengkritik caranya dalam keputusan atau pendiriannya dalam mengendali pelbagai keadaan.

Beliau juga memberitahu mengenai tawaran untuk menyertai politik dan bertanding dalam pilihan raya pada 1976.

“Saya selama ini seorang anggota polis, saya tidak pernah berminat dengan politik,” tulisnya dalam bukunya, di mana beliau mengenang bagaimana pemimpin Kadazan ketika itu, Peter Mojuntin menghubunginya untuk bertanding dalam pilihan raya negeri 1976. Beliau juga cukup terkenal kerana menerajui Pasukan Polis Marin Sabah selama lapan tahun di mana beliau dilihat sebagai tokoh di sebalik banyak kejayaan polis terhadap lanun Filipina yang menggentarkan komuniti nelayan dan penduduk pesisir di pantai timur Sabah.

Dalam bukunya, beliau memberi beberapa pandangan mengenai serangan lanun di pantai timur Sabah sejak lewat 1950-an hingga 1990-an, membantu mewujudkan satu unit perisikan bagi polis marin untuk memerangi ancaman lanun.

Hadir sama pada majlis pelancaran buku itu adalah Shanmugam Munusamy, yang Clement sebutkan dalam bukunya.

Shanmugam digambarkan sebagai seorang Inspektor berani yang mengetuai 15 anggotanya untuk menundukkan 13 pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) semasa pertempuran senjata di Pulau Bakungan di Sandakan pada Jun 1976.

“Buku bercerita lantang. Ia penuh semangat dan penceritaan sejarah. Saya berbangga bekerja di bawah Jaikul untuk satu tempoh singkat. Beliau seorang pentadbir berkebolehan yang bersikap adil terhadap rakan pegawainya, sentiasa menepati jadual dan juga seorang pegawai polis yang jujur.

“Beliau seorang anggota polis pahlawan legenda. Komuniti Kadazandusun akan sentiasa berbangga dengan anak jatinya,” kata Shanmugam, menambah Jaikul berkhidmat dalam kedua-dua Pasukan Polis Borneo Utara dan kemudiannya Pasukan Polis Diraja Malaysia dengan tugas awam, cawangan pentadbiran, jabatan siasatan jenayah, cawangan khas dan polis marin.

Beliau berkata Jaikul terbabit dalam menjalankan operasi sulit semasa pemberontakan komunis, menambah semasa Konfrontasi, beliau bertempur dengan tentera militia Indonesia.

“Jaikul terbabit dalam operasi merampas kembali lapangan terbang daripada pemberontak dalam pemberontakan Brunei oleh tentera Azahari. Sebagai OCPD (pegawai bertanggungjawab atas daerah polis) Sandakan, beliau terbabit dengan ancaman yang timbul daripada tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Beliau juga terbabit dalam penangkapan dan sabitan penjenayah yang terbabit dalam beberapa rompakan bersenjata berprofil tinggi dengan senjata api, termasuk pembunuhan,” kata Shanmugam.

Katanya, sebagai CO (pegawai pemerintah) Polis Marin Sabah, beliau diiktiraf dengan pencapaian bilangan tertinggi “lanun dibunuh” dengan 54 maut, menambah Jaikul juga telah merombak seluruh jabatan itu untuk menyelesaikan semangat dan disiplin rendah ketika itu.

Jaikul dipercepatkan kenaikan pangkat, menjadikan beliau warga Kadazandusun pertama mencapai pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis, katanya, menambah beliau juga menerima beberapa surat perakuan dan pingat termasuk daripada Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here