Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


PM: Kerajaan terus berusaha kembalikan status rakan sekutu
Published on: Tuesday, September 17, 2019
By: Bernama
Text Size:

PM: Kerajaan terus berusaha  kembalikan status rakan sekutu
Tun Dr Mahathir mengibarkan Jalur Gemilang ketika menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya malam tadi. Turut kelihatan ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (duduk, kiri), Menteri Kewangan Lim Guan Eng (duduk, kanan) dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (duduk dua, kanan) –fotoBERNAMA
KUCHING: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih meneruskan usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Bagi melancarkan usaha berkenaan, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

“Kesemua 23 ahli jawatankuasa itu yang terdiri daripada menteri-menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Menteri Sabah yang telah bermesyuarat beberapa kali untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, malam tadi.

Pada April lepas, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung Tanah Melayu, di Dewan Rakyat, namun gagal mendapat sokongan dua pertiga.

Pembentangan rang undang-undang itu, yang selaras dengan semangat MA 63 selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri, adalah sebagai memenuhi janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah kecuali perkara berkaitan dengan keselamatan yang masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir berkata penyerahan itu adalah satu hasil perundingan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 dan ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan PH memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita harap rakyat dan pemimpin dari kedua-dua negeri ini dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia dibentuk bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sedang mempersiapkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang bakal menggariskan peranan yang boleh dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat agar pertahanan negara menjadi satu usaha sama nasional.

Dr Mahathir berkata KPP itu juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keutamaan rancangan masa hadapan pertahanan negara dengan mengambil kira trend global yang terkini agar sejajar dengan realiti semasa serta cabaran yang menanti pada masa depan.

“Kita harus sedar bahawa kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara hanya boleh dicapai sekiranya rakyat di semua peringkat sedar akan peranan masing-masing,” katanya

Dr Mahathir berkata Malaysia yang dikelilingi tiga laluan utama - Selat Melaka, Laut Cina Selatan dan Laut Sulu - perlu memastikan keselamatan perairan dan lautannya demi kesejahteraan negara.

Beliau berkata konsep negara maritim bukanlah suatu yang baharu kepada Malaysia kerana pernah menjadi laluan pilihan Timur ke Barat, dan sebaliknya serta pada masa kini berpotensi menjadi pintu masuk atau “gateway” antara Lautan Pasifik dan Lautah Hindi.

“Jika kita berupaya memastikan keselamatan di perairan kita, maka potensi ekonominya pasti dapat kita ceburi dan nikmati,” katanya.

Kertas Putih Pertahanan dijadual dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini. – Bernama





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here