Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


RM78 juta baik pulih, bina semula sekolah usang di Sabah
Published on: Wednesday, September 18, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

RM78 juta baik pulih, bina  semula sekolah usang di Sabah
Gambar fail dari Bernama.
Kota Kinabalu: Sabah telah diberi peruntukan RM78 juta daripada Kementerian Kewangan untuk membaik pulih atau membina semula bangunan sekolah usang, terutama yang dikategorikan dalam keadaan berbahaya, tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang mengumumkan perkara itu, berharap pembiayaan itu dapat menyelesaikan masalah di 30 hingga 35 sekolah usang di Sabah. Terdapat 587 sekolah usang di seluruh negeri.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran, dalam Bajet 2019, telah memperuntukkan RM10 juta kepada Sabah untuk tujuan itu tetapi hanya cukup untuk kerja-kerja pembaikan kecil di 79 sekolah seumpamanya, masing-masing diperuntukkan kira-kira RM100,000.

“Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah menyatakan kebimbangan beliau dan meminta Kementerian Kewangan cuba mencari dana untuk membaiki lebih banyak sekolah, terutama sekolah-sekolah dalam keadaan berbahaya.

“Demikian juga, Perdana Menteri turut memberi perhatian kepada perkara ini dan telah mengarahkan saya untuk cuba mencari wang untuk tahun ini, bukan tahun depan, supaya sekurang-kurangnya kita dapat melihat proses kerja bermula.

“Oleh kerana kebimbangan kedua-dua pemimpin dan arahan daripada Perdana Menteri, Kementerian Kewangan telah berjaya menggumpul RM78 juta untuk membaikpulih atau membina semula sekolah-sekolah usang yang bangunannya berbahaya dan telah diabaikan lebih 15 tahun oleh kerajaan terdahulu.

“Saya juga tidak faham mengapa kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar yang diadakan bersama-sama dengan Mohd Shafie selepas menghadiri Dialog Bajet 2020 dengan Menteri Kewangan di sini, Selasa.

Guan Eng berkata itulah masalah yang dihadapi oleh Kerajaan semasa, yang bukan disebabkan oleh mereka tetapi mereka perlu menyelesaikannya dan mereka akan menghadapinya.

“Kementerian saya berharap dengan RM78 juta itu, sekurang-kurangnya lebih 30 sekolah boleh mendapat manfaat daripadanya. Kami akan membuat penilaian ketat dan berharap sekurang-kurangnya 30 hingga 35 buah sekolah dapat diperbaiki. Terpulang kepada perbincangan dan penilaian yang akan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kami ada formula baru sekarang di mana Kerajaan Negeri Sabah akan terlibat secara aktif. Adalah suatu fakta bahawa apabila kerja-kerja pembaikan dilakukan di sekolah-sekolah di pedalaman, jarang atau kita tidak akan tahu apa status kerja-kerja yang dilakukan.

“Kadang-kadang, kita fikir kerja-kerja sudah siap tetapi keadaan sebenar berbeza. Itulah sebabnya penglibatan Kerajaan Negeri Sabah sangat penting,” katanya sambil menambah Kementeriannya telah mengeluarkan surat persetujuan untuk peruntukan itu pada 30 Ogos dan beliau berharap sekolah-sekolah akan mendapat faedah daripadanya.

Mengenai dialog itu, Guan Eng berkata perundingan belanjawan terutamanya mengenai pelancongan adalah yang pertama seumpamanya dipegang oleh Kementerian di Sabah dan topik yang difokuskan adalah salah satu daripada sektor yang penting untuk ekonomi negara.

Beliau berkata maklum balas yang diterima daripada pihak berkepentingan berkenaan adalah baik dan cadangan mereka akan diambil kira oleh Kementerian dalam merangka bajet untuk tahun depan.

“Tetapi saya perlu mengingatkan bahawa kita masih dalam proses memulihkan fiskal kewangan kita. Kerana kita terlibat dalam skandal kewangan yang diwarisi dari kerajaan lama, yang melibatkan sejumlah besar, kira-kira RM150 bilion, yang akan mengambil masa.

“Bagaimanapun, kami akan berusaha bagi memastikan pembangunan masih boleh diteruskan,” katanya.

Mohd Shafie berkata Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan kerana meluluskan peruntukan bagi membaiki dan membina semula sekolah-sekolah usang di negeri ini.

“Saya yakin ini akan dapat membantu kami dalam usaha menyediakan kemudahan pendidikan lebih baik termasuk di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.

Beliau juga menghargai dialog yang diadakan di Sabah kerana ia membolehkan lebih banyak interaksi langsung antara Kerajaan dengan rakyat yang suara-suaranya dapat didengar dan diberi perhatian.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here