Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Pelan Pembangunan Pertanian dilancar Okt
Published on: Sunday, September 22, 2019
By: Patimang Abdul Ghani
Text Size:

Pelan Pembangunan  Pertanian dilancar Okt
KUDAT: Pelan Pembangunan Pertanian Sabah bagi meningkatkan keluaran pertanian di negeri ini akan dilancarkan pada Oktober tahun ini kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, pelan pembangunan itu merupakan kerangka lebih komprehensif bagi membolehkan lebih banyak fokus kepada bidang perikanan, pertanian dan pemakanan.

Katanya, secara ringkas kaedah tersebut merupakan penggunaan teknologi baharu serta penggunaan tanah sebaik mungkin dalam memajukan sektor pertanian.

“Kita sudah ada kerangka dan saya yakin rancangan ini akan dapat kita susun atur dengan baik. 

“Kerana bukan hanya agensi kerajaan, bahkan juga masyarakat perlu kita bangunkan supaya ia menjadi satu gerakan yang berskala besar.

“Kita tidak perlukan tanah yang luas, kerana kita menggunakan teknologi seperti fertigasi, iaitu dengan hanya menggunakan air untuk menghasilkan sayur-sayuran.

“Kalau kita mempunyai pendekatan keupayaan teknologi baharu, saya yakin keluasan tanah bukan menjadi perhitungan, tetapi keupayaan kita untuk membabitkan diri supaya pendekatan baharu dapat kita gunakan, manfaatkan untuk keberhasilan pengeluaran pertanian khususnya di peringkat negeri Sabah,” katanya.

Shafie berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah (HPPNS) di Esplanade Sidek, Kudat pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict.

Menurut Shafie, sektor pertanian dan makanan mempunyai potensi yang besar dan amat baik bukan hanya bagi negeri ini, bahkan negara kita, memandangkan permintaan semakin meningkat.

Dalam pada itu, Shafie menegaskan bahawa beliau mahu wang negeri Sabah digunakan hanya untuk pembangunan negeri ini dan bukannya negeri lain.

“Saya mahu duit Sabah dalam Bank Pembangunan Sabah yang dimiliki negeri ini digunakan dan dilabur. Kita sangat memerlukan duit kerana kita banyak sumber yang perlu diusahakan demi rakyat dan negeri ini.

“Kita tidak mahu wang milik negeri ini dibelanjakan untuk pelaburan atau pembangunan negeri lain sebagaimana yang dilakukan pemerintah terdahulu.

“Sedangkan kita sedar bahawa negeri Sabah memerlukan sumber kewangan untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana kewangan negeri Sabah dan membantu masyarakat usahawan negeri ini khususnya.”

Shafie berkata, beliau juga mahu agar institusi kewangan dapat mempermudahkan pinjaman kewangan sedia ada untuk pengusaha seperti petani, nelayan dan penternak di negeri ini.

Pada majlis itu, Shafie turut menyampaikan sijil High Achievers kepada 65 penerima, dan 13 penerima anugerah kepada pemenang sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri itu.

Shafie juga menyampaikan peruntukan khas benih, bibit, baja, dan subsidi padi bukit kepada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI).

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan gerai pameran 31 agensi kerajaan, 36 badan swasta, serta 68 gerai jualan usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lebih 30 gerai jualan makanan.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here