HEADLINES :


ADVERTISEMENT




Elvin Romeo pertaruh rasa cinta
Published on: Friday, October 04, 2019
By: Kazalinah Kamaludin

BINTANG YouTube, Elvin Romeo akhirnya melunaskan impiannya untuk bergelar penyanyi apabila tampil dengan single sulungnya, Falling in Love, yang mula menemui pendengar hari ini (Jumaat).

Percubaan pertamanya itu mendapat sentuhan penyanyi popular Sabah, Jonathan Tse dan Peter Lau selaku penggubah lagu.

Menariknya lagi, lirik Falling in Love turut dinukil sendiri jejaka berumur 22 tahun terbabit bersama Jonathan.

Mengulas lanjut, Elvin berkata menerusi Falling in Love, dia mengekspresikan rasa cinta buat seorang gadis dicintainya dengan bait-bait lirik romantis.

“Ya, lagu ini memang berkaitan dengan kisah cinta saya sendiri. Saya bercerita mengenai bagaimana perasaan saya terhadapnya dan getar hati saya sewaktu pertama kali bertentang mata dengannya. Kemudian saya pun jatuh cinta.

“Saya juga menceritakan pemberian bermakna daripadanya seperti permainan Gundam. Keseluruhan lagu berkisar mengenai detik-detik indah yang kami luangkan bersama,” katanya.

Enggan berselindung tentang kisah cintanya, Elvin memberitahu dirinya kini bahagia diulit cinta dengan gadis idamannya.

Terlibat sendiri dalam proses pembikinan lirik turut memudahkannya menghayati Falling in Love, katanya, sambil menambah, apatah lagi dia menceritakan apa yang dialaminya sendiri dalam lagu berkenaan.

“Sebab itu, saya ingin berkongsikan rasa itu menerusi nyanyian saya dengan harapan ia mencetuskan inspirasi kepada pasangan bercinta lain di luar sana.

“Semestinya juga, lirik dalam lagu ini lahir tulus dari hati saya,” katanya.

Sebagai pendatang baharu, pemuda kelahiran Kota Kinabalu itu berkata, dia mendambakan hala tuju muzik yang ringan dan santai.

Akuinya, karya yang bercorak santai lebih dekat dengan hatinya selain bersesuaian dengan karakternya sendiri yang sukakan hal ringkas.

“Namun, saya tetap memastikan percubaan pertama saya ini mempunyai kekuatan tersendiri yang saya pasti mampu memikat hati pendengar.

“Paling saya suka mengenai lagu ini tentunya keindahan dari segi lirik serta melodinya. Saya memang jenis yang sukakan apa saja benda atau perkara indah.

“Jujur, saya cukup berpuas hati dengan keseluruhan hasil pertaruhan sulung ini. 

“Saya sangat gembira dengan hasilnya seperti yang saya idamkan iaitu sekadar lagu santai dan penuh keseronokan.

“Bukan saja lagu itu sendiri tapi muzik videonya juga sangat memuaskan,” katanya.

Pastinya, nama Elvin bukanlah asing dalam kalangan rakyat Negeri di Bawah Bayu.

Namanya mula mekar dalam industri kreatif sekitar penghujung Disember 2016 apabila muncul sebagai pembikinan kandungan video.

Jejaka berbangsa Kadazan ini menjadi bualan dalam kalangan masyakarat Sabah apabila dia memilih untuk menggunakan dialek tempatan dalam setiap videonya di YouTube.​​​​​​​

Bertitik tolak daripada situ, Elvin mula meraih perhatian pengikut dari luar negeri termasuklah Sarawak, Semenanjung, Brunei, Indonesia dan Singapura.

Untuk setiap videonya, jumlah tontonan di Facebook mencecah sekitar 20,000 sehingga 1 juta manakala di YouTube, antara 10,000 hingga 300,000 dengan lebih 65,000 ribu pelanggan.

Tahun ini, Elvin mencipta fenomena apabila menggalas watak utama sebagai Roger Buang dalam iklan komersil Petronas berjudul UNI, yang dilancarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019.

Berjaya menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia menerusi lakonannya, video berkenaan mendapat lebih 7 juta tontonan di YouTube sekali gus membuka dimensi baharu buat jejaka itu.

Falling in Love boleh dinikmati di laman-laman streaming utama bermula pukul 12 tengah malam ini (Jumaat).

Video muzik rasmi juga dilancarkan serentak di laman YouTube, Elvin.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular