HEADLINES :


ADVERTISEMENT




Permohonan Salleh sertai PKR cetus kebimbangan kalangan pemimpin, ahli
Published on: Wednesday, October 09, 2019

KOTA KINABALU: Permohonan Datuk Seri Salleh Keruak yang ingin menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kebimbangan di kalangan pimpinan serta ahli parti itu terutama di negeri ini, kata Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud.

Mustapha yang juga Ketua Cabang Kota Belud berkata kemasukan Salleh yang sebelum ini dikenali sebagai ‘The Last Samurai For Najib’ dikhuatiri menjadi liabiliti kepada PKR yang dikenali sebagai parti penggerak reformasi dan politik perubahan berdasarkan nilai kebenaran dan keadilan.

“Pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai (kebenaran dan keadilan) yang bertembung dengan budaya politik wang yang mengakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

“Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa.

Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi pimpinan terutama di kalangan generasi muda. Saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jumaat lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh secara dalam talian untuk menganggotai PKR.

Sehubungan dengan itu Mustapha berharap pimpinan parti perlu menilai secara adil antara pejuang reformasi dan ‘The Lost Samurai’ itu.

Beliau berkata Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina walaupun dikatakan lemah tetapi tercatat dalam sejarah sebagai Pengerusi PKR Negeri yang berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Naaional setelah berjuang selama 20 tahun. 

Katanya, hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah telah banyak membuka ruang kepada pimpinan dan ahli-ahli parti mendapat manfaat sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Negeri. 

“Ironinya yang mendapat dan menikmati jawatan penting yang disokong beliau (Christina) selaku Timbalan Ketua Menteri sekarang ini menjadi penyokong utama kemasukan Datuk Salleh ke dalam parti,” katanya.

Justeru, beliau berharap pimpinan PKR Pusat terutama Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang adil. 

“Kami sayangkan parti yang kami dokong sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan untuk menjadi Perdana Menteri Kelapan dipermudahkan.

“Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku. Ramai lagi pejuang-pejuang yang tidak didendang perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti,” kata Mustapha. – Bernama



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular