HEADLINES :


ADVERTISEMENT




Pelantikan Amarjit tidak sah
Published on: Thursday, October 10, 2019
By: Jo Ann Mool

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi pada Rabu mengisytiharkan bahawa pelantikan Datuk Amarjit Singh sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) oleh Kerajaan Negeri bercanggah dengan Seksyen 3, Enakmen Bekalan Air 2003.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru menyampaikan keputusan itu di kamarnya untuk saman yang difailkan bekas ketua menteri Datuk Seri Yong Teck Lee dan seorang ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung (plaintif), pada 19 Mac tahun ini.

Menurut peguam kedua-dua plantif, Ravinthran ketika membenarkan perintah perisytiharan itu, berkata pelantikan Amarjit adalah jelas melanggar Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 kerana dia bukan anggota Perkhidmatan Awam Sabah sebelum pelantikannya sebagai Pengarah JANS.

Kedua-dua plaintif menamakan Amarjit dan Kerajaan Negeri Sabah masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Amarjit tahun lalu terbatal dan tidak sah kerana ia bercanggah dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Mereka juga memohon satu perisytiharan bahawa Seksyen 3 Enakmen tersebut menyatakan bahawa hanya anggota perkhidmatan awam layak mengisi jawatan-jawatan kanan adalah mandatori.

Mereka juga mendakwa dalam saman mereka bahawa tindakan-tindakan Amarjit sejak pelantikannya pada 10 Ogos, 2018 menjejaskan bekalan air di Sabah bagi tempoh pendek, sederhana dan panjang.

Ini termasuk pembatalan mendadak dua projek bekalan air penting di Tawau dan Lahad Datu pada hari sama Amarjit dilantik ke jawatan tersebut.

Yong yang juga presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pang menyatakan dalam saman mereka bahawa Enakmen itu menyatakan secara khusus bahawa pengarah jabatan itu harus dilantik dari kalangan anggota Perkhidmatan Awam Sabah.

Mereka mendakwa bahawa Amarjit tidak pernah menjadi anggota perkhidmatan awam Sabah dan tidak pernah mengikuti latihan kemahiran, penilaian kecekapan, peperiksaan pembangunan profesional dan kerajaan seperti yang dikehendaki bagi seseorang untuk dilantik ke jawatan kanan seumpamanya.

Sebaliknya, mereka percaya pelantikan Amarjit sebagai Pengarah JANS hanyalah disebabkan beliau adalah ahli dan penyandang jawatan dalam Parti Warisan Sabah.

Plaintif diwakili peguam Yong Yit Jee dan Darren Nicholas Punai sementara defenden-defenden diwakili Peguam Kanan Negeri, Dayangku Fazidah Hatun Pg Bagul.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular