ADVERTISEMENT


HEADLINES :




‘Peluang besar untuk Sabah lebih membangun’
Published on: Monday, October 14, 2019

Kota Kinabalu: Belanjawan 2020 yang menyaksikan pelbagai galakan dan peruntukan diberikan kepada Sabah adalah bukti komitmen kerajaan untuk membangunkan negeri ini secara lebih lestari serta seimbang demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Program Ekonomi Perancangan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Janice Nga berkata cadangan menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula tahun depan membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai mesra rakyat dan makmur dalam tempoh jangka panjang, Nga yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS berkata belanjawan itu juga menunjukkan ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan pada hari ini mempunyai kemajuan positif dan berada di landasan yang betul.

“Peruntukan dinaikkan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2020 itu membuktikan komitmen kerajaan PH dan ini sekali gus menunjukkan prestasi ekonomi negara mempunyai kemajuan positif kerana kerajaan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan peruntukan kepada kedua-dua negeri.

“Justeru, ini adalah indikator yang bagus. Walaupun ekonomi dunia merudum (pada ketika ini), namun, kerajaan masih mampu mengekalkan positiviti. Selain itu, bajet ini juga realistik dan holistik,” katanya kepada Bernama.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat Jumaat lepas antara lain menyaksikan Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion bagi tahun hadapan.

Kerajaan juga bercadang untuk menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula 2020.

Sejak 1969, pemberian khas yang merupakan sebahagian daripada geran Persekutuan itu, iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak, belum pernah disemak semula. 

Bermula tahun depan, kerajaan PH bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

Nga berkata ia adalah langkah positif diambil oleh kerajaan PH ke arah merealisasikan antara intipati terkandung dalam MA63, dan meskipun dibuat secara berperingkat namun usaha itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di Sabah serta juga Sarawak.

Ini kerana, peruntukan itu boleh digunakan bagi memperkasakan lagi pembangunan di seluruh pelosok Sabah terutama dalam aspek infrastruktur dan prasarana asas untuk kemudahan serta keselesaan rakyat, katanya.

“Namun, apa yang lebih penting sekarang ini adalah bagaimana kesemua peruntukan itu boleh dilaksanakan secara lebih efektif dan efisien sekali gus memastikan ia sememangnya sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya. – Bernama



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular