NGO sokong siasatan terhadap DAP
Published on: Sunday, October 20, 2019
By: Hayati Dzulkifli
KOTA KINABALU: Komponen Pakatan Harapan (PH), DAP, harus disiasat oleh polis ekoran penangkapan dua penggubal undang-undang DAP minggu lepas kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Presiden Pertubuhan Permuafakatan Perpaduan Peranakan Suluk Bajau Negeri Sabah, Datuk Mohd Akjan bin Datu Ali Muhammad berkata ia penting untuk kepimpinan tertinggi DAP, khususnya penasihatnya Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng, lebih bertanggungjawab atas perkara itu kerana ia membabitkan keselamatan negara.
ADVERTISEMENT
Beliau berkata dua pemimpin parti itu harus memberi kerjasama penuh kepada polis yang menjalankan siasatan penting terhadap sebarang dakwaan hubungan dengan aktiviti untuk membangkitkan semula LTTE di negara ini.
Pada 14 Oktober, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mendedahkan bahawa transaksi kewangan membabitkan sejumlah besar wang dijalankan, dipercayai untuk mengaktifkan kumpulan LTTE di negara ini.
Ayob juga dilaporkan berkata bahawa polis mendapati bahawa LTTE mempunyai cawangan di setiap negeri.
“Kami menyokong penuh tindakan yang diambil oleh polis dalam menangkap beberapa individu disyaki, termasuk dua Adun DAP, berkaitan hubungan disyaki dengan LTTE, termasuk menyalurkan dana kepada kumpulan itu yang telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas di 30 negara, termasuk Malaysia.
ADVERTISEMENT
“Kami juga meminta kerajaan mengambil tindakan drastik untuk menyiasat parti serta pemimpin sehingga peringkat akar umbi tanpa sebarang gangguan dan kelewatan kerana pertubuhan bukan kerajaan kami adalah sebuah pertubuhan pencinta keamanan yang mendukung kehidupan berharmoni dan kedaulatan negara.
“Ia kerana parti itu, yang sebelum ini sudah lama menjadi pembangkang dan amat berpengalaman, kini sebahagian daripada kerajaan sekarang dan saya pasti rakyat tentu kecewa bahawa dua wakil rakyatnya adalah antara mereka yang ditangkap,” kata Akjan.
ADVERTISEMENT
Adun DAP Seremban Jaya, P. Gunasekaran dan exco kerajaan negeri Melaka, G. Saminathan adalah antara mereka yang ditangkap pada 10 dan 12 Oktober. Mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Akjan berkata mana-mana penggubal undang-undang negeri atau parlimen yang didapati terbabit dalam menyokong dan membiayai kumpulan pengganas mesti melepaskan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat kerana mereka tidak akan membawakan kebaikan kepada penduduk kawasan masing-masing dan kepada negara.
“Sesiapa yang menyokong LTTE untuk diaktifkan semula harus menyertai saja kumpulan pengganas itu di Sri Lanka dan tidak patut pun mencuba untuk membangkitkannya semula di negara ini kerana mereka akan gagal.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Ini kerana rakyat Malaysia mencintai keamanan dan keharmonian, dan akan mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman dan membenci perbuatan keganasan,” katanya.
Difahamkan bahawa LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.